Pengendali Sabah FC, Dato’ Ong Kim Swee optimis pasukannya mempunyai peluang untuk menewaskan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada Jumaat, namun dia tidak mahu ia menjadi tekanan buat barisan pemainnya.
Sabah berpeluang menjadi pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan liga musim ini di hadapan penyokong sendiri di Likas namun Ong Kim Swee menegaskan ada perkara yang lebih penting perlu diberi tumpuan.
“Kita tidak boleh terlalu memikirkan mengenai kemenangan. Apa yang penting adalah kekal fokus dan berdisiplin ketika kita bermain sepanjang perlawanan nanti untuk mengimbangi kualiti pemain JDT.
“Kita tidak boleh terburu-buru, sebaliknya perlu berhati-hati dan menggandakan usaha jika ingin mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebarang mata,” katanya.
Lebih 20,000 penyokong dijangka hadir ke Stadium Likas bagi menyaksikan perlawanan yang dilabel blockbuster itu justeru Ong Kim Swee mengharapkan sokongan padu penyokong setia Sabah akan menjadi pembakar semangat dan memberi motivasi tambahan kepada barisan pemainnya.
“Kita mahu memastikan Sabah FC tidak kehilangan mata ketika bermain di hadapan penyokong tegar mereka. Sebab itu pemain perlu meningkatkan fokus serta berdisiplin bagi mengekalkan momentum sedia ada agar tidak kehilangan mata,” katanya.
Ketika ini, JDT menerajui carta Liga Super dengan 23 mata, manakala Sabah FC di tangga kedua dengan 22 mata namun telah beraksi lebih satu perlawanan.
Kali terakhir JDT tewas dalam saingan Liga Super adalah pada bulan April tahun lalu kepada Terengganu FC dan selepas itu telah mengharungi 25 perlawanan tanpa kalah malah skuad Benjamin Mora juga memegang rekod gah tidak pernah tewas di gelanggang lawan dalam 40 perlawanan sejak Mac 2018.