“Janganlah lembu punya susu, sapi yang dapat nama,” ujar CEO Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Janganlah menjadi umpama lembu punya susu, sapi yang dapat nama,” demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang susulan dakwaan bahawa Kiko Insa adalah ejen kepada pemain import baru pasukan itu, Manuel Hildago.

Manuel Hildago yang membuat penampilan sulung ketika menentang Selangor FC pada Rabu lalu, berjaya memenangi hati penyokong Sri Pahang dengan persembahan mengagumkan, apabila menjaringkan satu gol dan melakukan satu assist dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu.

Pemain itu sendiri menyatakan cukup gembira dapat menyarung jersi Sri Pahang dan memberi kredit kepada ejennya yang bertanggungjawab meyakinkannya untuk bermain dengan pasukan juara Liga Super 2004 itu.

Kemudiannya viral di media sosial komen daripada pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Kiko Insa adalah ejen kepada Manuel Hildago, sebelum komen itu dipadam.

Berita berkaitan : Kiko Insa bertanggungjawab yakinkan Manuel Hildago sertai Sri Pahang? 

Bagaimanapun, Datuk Suffian menafikan mengenai pembabitan Kiko Insa yang juga bekas pemain Sri Pahang di dalam membawa pemain itu ke bumi Kuantan, malah menegaskan kedua-dua mereka tidak mengenali satu sama lain.

TMJ Kiko Insa "Janganlah lembu punya susu, sapi yang dapat nama," ujar CEO Sri Pahang

“Kehadiran Manuel Hildago ini tiada kaitan langsung dengan Kiko Insa, pemain berbakat ini diketahui oleh YAM Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman yang mempunyai hubungan baik dengan ejen sebenar iaitu Lucas Cominelli daripada agensi 7ORO Sports,” katanya ekslusif kepada Sukanz.

Tambah Suffian lagi, “Dia (Lucas) yang memperkenalkan Manuel kepada YAM Tengku Abdul Rahman sebelum saya memulakan perbincangan dengan pihak Lucas, dan akhirnya membawa dia masuk ke sini.

“Isu Kiko ini tiada kena mengena langsung dengan perpindahan Manuel ke sini sama ada sebagai ejen atau recommend pemain ini, sebabnya Manuel sendiri tidak kenal langsung Kiko ini siapa, janganlah menjadi umpama lembu punya susu sapi dapat nama,” katanya.

Sebagai makluman, Lucas Cominelli merupakan sebahagian daripada anggota skuad juara Liga Super 2004 dan selepas bersara sebagai pemain, dia mula terlibat sebagai ejen. Dia juga merupakan individu yang bertanggungjawab membawa masuk dua pemain import Matias Conti dan Yamil Romero ke Sri Pahang sebelum ini.

Sementara itu mengenai kontrak Manuel Hildago, Suffian berkata pemain itu telah menandatangani kontrak sehingga hujung musim ini, dan akan ditawarkan kontrak jangka panjang jika menampilkan prestasi yang konsisten dan memberangsangkan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.