Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakJatuh dalam air ketika timang bola, Christian Pulisic jadi bahan ketawa

Jatuh dalam air ketika timang bola, Christian Pulisic jadi bahan ketawa

Bintang Chelsea, Christian Pulisic menjadi bahan ketawa selepas dia tergelincir jatuh ke dalam air ketika menimang bola di atas bot.

Pemain berusia 22 tahun itu sedang dalam percutian setelah membantu Chelsea menjulang Liga Juara-Juara Eropah dan kemudiannya memenangi Liga Negara-Negara CONCACAF bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat.

Dia pada mulanya dilihat mempamer kebolehan melakukan timbangan dan cuba untuk mencuri tumpuan dengan mempamerkan aksi ‘around the world’ sebelum terjatuh ke atas seekor ikan besar yang dipancing salah seorang rakannya.

Pulisic bagaimanapun bernasib baik, apabila rakannya pantas menghulurkan tangan dan mengheretnya naik semula ke atas bot.

Walaupun berdepan detik cemas, ia tidak menimbulkan simpati rakan sepasukannya Thiago Silva, Tammy Abraham dan Marcos Alonso di mana semuanya memberikan komen dan emoji gelak di video yang dimuatnaik di Instagram.

Pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho turut mengejek bekas rakan sepasukannya di Dortmund dengan menulis: “Bro, kamu banyak mainlah.”

Penyerang Caen, Nicholas Gioacchini, pertahanan Fulham, Antonee Robinson dan bintang Barcelona, Sergino Dest turut ketawa melihat insiden itu.

Namun ada juga yang melihat video ini dari sudut berbeza dan menyelar Pulisic dengan menyatakan rasa simpati kepada ikan tersebut, menganggap pemain itu sengaja buat lawak tidak bertempat.

Ini kerana Christian Pulisic sememangnya sentiasa cuba mencuri tumpuan dengan memuatnaik video lucu di platform instagram dan tiktok, malah sebelum ini video dia terjatuh ketika menimang bola pernah menjadi viral.

“Adakah ini lucu bro, seekor ikan tersangkut pada mata kail dan bertarung dengan nyawa. Selepas itu kau hempap pula dia dan gelak macam tak ada perasaan,” ujar salah seorang pengunjung di instagramnya.

Sebagai rekod, Christian Pulisic meninggalkan Borussia Dortmund untuk menyertai Chelsea pada Julai 2019 dan dia merupakan pemain Amerika pertama untuk menjulang Liga Juara-Juara Eropah.

Sepanjang dua musim di Stamford Bridge, dia telah menjaringkan 13 gol dalam 52 penampilan di Liga Perdana Inggeris.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.