‘Jatuhkan diri kena gantung, tolak pengadil diberi amaran, ini melucukan!’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

‘Tolak pengadil secara agresif sekadar diberi amaran keras? Ini hukuman yang melucukan,” demikian pandangan bekas pengadil FIFA yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia pada Jumaat mengumumkan bahawa penyerang import Kelantan FC, Jack Hindle diberi amaran keras atas perbuatan menolak secara agresif pengadil Amirul Aizat Awang Lodin ketika perlawanan menentang Perak II pada 6 Mac lalu.

Menurut Subkhiddin, beliau cukup kecewa dengan keputusan tersebut yang dianggap sebagai tidak akan sedikitpun memberi pengajaran kepada pemain malah dalam masa sama tidak memberi jaminan dapat melindungi pegawai pertandingan di masa akan datang.

“Tapi itulah keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang difikirkan terbaik untuk masa depan bola sepak negara dan jika dipraktikkan di seluruh dunia, kita terimalah walaupun ia akan memberikan kesan dalam jangka panjang.

“Cuma saya rasa bimbang kerana keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini akan menjadi ‘jaminan’ kepada segelintir pemain lain untuk melakukan perbuatan sama terhadap pegawai pertandingan kerana setiap kali hukuman dijatuhkan, kebiasaannya ia akan dijadikan rujukan untuk kes seterusnya.

“Selepas ini kita boleh menjangkakan terdapat segelintir pemain tidak lagi akan menghormati pegawai perlawanan berikutan keputusan yang jelas tidak memberikan mesej pengajaran kepada mereka.

“Pada saya hukuman terhadap Jack Hindle sesuatu yang melucukan kerana jika seseorang pemain melakukan simulasi dikenakan penggantungan dua perlawanan, sebaliknya apabila menyentuh pengadil perlawanan dikenakan amaran keras.

“Persoalan saya adakah hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM terhadap Hindle boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pemain lain untuk tidak melakukannya lagi? Jadi marilah sama-sama kita fikirkan,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Kebimbangan Subkhiddin ada wajarnya, kerana bertitik tolak dari tindakan Jack Hindle, sejak kebelakangan ini perbuatan tidak menghormati pengadil semakin menjadi-jadi, terbaru pada 21 Mac lalu apabila Natxo Insa menolak pengadil selepas wisel penamat dibunyikan ketika perlawanan antara JDT dan Perak FC.

Pemain seolah tidak takut akan dikenakan hukuman berat, dan apabila hanya dikenakan amaran sepertimana Jack Hindle, maka mereka pasti akan berani melakukannya lagi.

Ia jelas ‘jauh panggang dari api’ jika dibandingkan dengan hukuman yang dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke atas Farizal Marlias apabila menggantungnya selama 12 bulan dan turut dikenakan denda AS$40,000 (RM170,567) kerana perbuatan sama.

Dan, jika Jack Hindle yang menolak Amirul Aizat sampai jatuh tergolek pun sekadar amaran keras, apa hukuman yang anda jangkakan ke atas Natxo Insa apabila Jawatankuasa Tatatertib mengadakan mesyuarat yang seterusnya?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.