Jawapan Nafuzi Zain mengenai kononnya TFC lebih bersemangat masa lawan JDT sahaja

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Benjamin Mora selalu mengatakan mana-mana pasukan yang menentang Johor Darul Takzim, akan bermain dengan lebih semangat dan motivasi, memberi lebih dari 100 peratus kerana semua pasukan tahu ianya sukar untuk mengalahkan mereka.

Tetapi, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menolak tanggapan sebegitu sebaliknya menegaskan mereka bermain dengan motivasi sama sepertimana perlawanan-perlawanan lain, dan ia membantu mereka melakar kemenangan sensasi ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Sabtu.

“Saya faham bukan senang untuk menang pada perlawanan ini tetapi syukur kita telah mendapat tiga mata penuh untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua liga.

“Bagi saya tiada guna untuk bersungguh-sungguh nak tewaskan JDT tapi dengan pasukan lain kami gagal capai kemenangan. Apa yang nak saya katakan rezeki memihak kepada kami malah pemain bermain dengan disiplin yang tinggi.

“Apa yang saya lihat motivasi pemain apabila berdepan JDT secara automatik tampak bersedia dan memberi persaingan baik dan itu yang saya mahu, bukan sahaja berdepan JDT tapi dengan pasukan lain juga pemain harus ada semangat begitu,” kata Nafuzi Zain selepas perlawanan.

Pengendali kelahiran Kelantan itu turut mengakui bahawa kehilangan S.Kunanlan dan Mauricio Nascimento yang terpaksa digantikan JDT kerana kecederaan di separuh masa pertama, memberi sedikit kelebihan kepada Terengganu untuk merencanakan serangan.

“Pada awalnya kita bimbang kerana David Da Silva belum sembuh daripada kecederaan dan cergas 100 peratus, malah tak dinafikan secara keseluruhan permainan dikuasai JDT. Kita juga kehilangan Carlos yang tidak dapat meneruskan permainan kerana mengalami kecederaan.

“Saya masukkan Shahrul Nizam (Ros Hasni) menggantikannya dan pemain itu beraksi dengan baik mengekang dan mengawal pergerakkan Bergson (Da Silva). Kami ambil kesempatan daripada sedikit kesilapan yang dilakukan di benteng pertahanan mereka bagi menjaringkan gol dan kami bertahan dengan jaringan itu sehingga tamat perlawanan,” kata Nafuzi Zain lagi. 

Gol kemenangan Terengganu FC dalam perlawanan itu dijaringkan pemain sayap muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-56.

Kemenangan keenam dari 10 perlawanan menyaksikan Terengganu FC kini di tangga kedua Liga Super 2021 dengan 21 mata, dua mata di belakang JDT.

Foto kredit : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.