“JDT akan kekal juara, pasukan lain bersaing tempat kedua sudah”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh tidak melihat dominasi Johor Darul Takzim akan tergugat meskipun pasukan itu belum menunjukkan prestasi yang boleh disifatkan cemerlang dalam saingan Liga Super 2021.

Tidak seperti musim-musim terdahulu apabila JDT memecut laju meninggalkan pasukan lain dengan beza mata yang terlalu jauh untuk dikejar selepas separuh aksi liga, tahun ini mereka hanya memiliki kelebihan tiga mata di puncak mengatasi Terengganu FC selepas 13 perlawanan.

Keyakinan Serbegeth atau dikenali sebagai Shebby bagaimanapun cukup tinggi kejuaraan Liga Super akan kekal menjadi milik JDT buat musim kelapan berturut-turut, ini ditambah dengan hakikat bahawa pasukan pencabar lain tidak menunjukkan aksi konsisten.

“JDT akan kekal juara kerana pasukan lain tidak konsisten. Walaupun ada masa JDT main tak berapa bagus, contohnya sebelum ini kalah dengan Terengganu FC, namun selepas itu Terengganu FC pula kalah dengan Penang.

“Sama juga dengan pasukan seperti Kedah sebelum ini apabila tewas kepada JDT di tempat sendiri, kalau mereka menang tempoh hari sudah boleh pintas ataupun rapatkan mata dan memberi tekanan kepada JDT. Namun itu tidak berlaku.

“Saya memang percaya JDT akan kekal juara, kalau pasukan lain tidak konsisten maka berebut tempat kedua sahajalah. Nak jadi juara ada dua perkara penting, pertama persembahan kita sendiri dan kedua prestasi pasukan lawan,” kata Shebby seperti dilaporkan BH Sukan.

Kata-kata Shebby ada asasnya kerana setiap kali berpeluang memintas atau merapatkan jurang dengan JDT, pencabar mereka akan tercicir mata.

Kedah sepatutnya boleh merampas kedudukan pendahulu jika menang di Stadium Darul Aman tetapi malangnya tewas 0-1 menerusi penalti masa kecederaan Bergson Da Silva, dan kini berada empat mata di belakang.

Terengganu FC pula jika tidak kerana diaibkan Penang FC selepas kemenangan sensasi ke atas JDT, ketika ini mereka pastinya berkongsi kedudukan pendahulu Liga Super.

Manakala Penang FC, selepas tamat pusingan pertama mereka cuma berada dua mata di belakang skuad bimbingan Benjamin Mora itu (24-22) namun tiba-tiba tewas mengejut di tangan Kuala Lumpur City dan kemudian tewas kepada JDT di laman sendiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.