JDT Beradu Kekuatan Dengan 4 Kelab Eropah Termasuk Spartak Moscow

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Juara Liga Super, Johor Darul Takzim akan memantapkan persiapan pra-musim mereka bagi mengharungi Liga Malaysia 2022 dengan terbang ke Emiriah Arab Bersatu pada bulan Januari nanti.

Skuad harimau selatan akan mengadakan latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan di sana dengan menentang empat kelab Eropah iaitu Spartak Moscow dan Rodina Moscow (Russia); Riga FC (Latvia) serta MSK Zilina (Slovakia).

“Ini adalah kali kedua JDT melawat UAE untuk pra-musim, sama seperti yang dilakukan pada tahun 2020. Pandemik Covid-19 telah menghalang perancangan-perancangan untuk pra-musim yang berpangkalan di luar negara pada 2021,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

JDT menutup tirai musim 2021 sebagai juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut tetapi gagal untuk melengkapkan kejuaraan berganda setelah tewas kepada KL City dalam aksi final Piala Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest memaklumkan beberapa perkembangan terkini berhubung pemain yang keluar masuk pasukan itu bagi musim 2022.

Menurutnya JDT sedang dalam rundingan untuk menandatangani seorang pemain tempatan dan empat pemain luar negara bagi musim 2022 dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat.

“Hong Wan, bekas pemain Wolverhampton Wanderers telah menerima pasport Malaysia beliau dan akan memperkuatkan skuad JDT 2022. Kelab telah memutuskan untuk melepaskan Gonzalo Cabrera dan akan mengekalkan kesemua pemain luar negara yang lain dalam pasukan senior.

“Seorang daripada empat pemain luar negara baru akan digandingkan dengan Bergson manakala yang lain akan diserapkan ke JDT II untuk digunakan dalam sistem ‘rotation’.

“JDT turut akan meminjamkan Irfan Fazail dan Stuart Wilkins ke Sabah, Fadhli Shas dan Syazwan Andik ke Melaka United dan kini sedang berbincang dengan beberapa kelab untuk meminjamkan Syafiq Ahmad. JDT juga akan merekrut Endrick dos Santos untuk musim 2023, dengan kemungkinan untuk dinaturalisasi.

“Kelab telah membuat keputusan untuk hanya menaturalisasikan pemain yang masih muda dan boleh memberi sumbangan untuk jangka masa panjang,” ujar Martin Prest.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.