JDT buat senyap, PJ City gagal sambar Hazwan Bakri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

PJ City FC gagal untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri pada jendela perpindahan kedua yang ditutup 31 Mei lalu, setelah permintaan mereka tidak mendapat sebarang maklumbalas daripada Johor Darul Takzim.

Pasukan itu sebelum ini meletakkan harapan tinggi agar Hazwan Bakri boleh menyertai mereka secara pinjaman dan memperkasa barisan depan setelah kehilangan khidmat Darren Lok kerana kecederaan jangka panjang.

Hazwan Bakri yang merupakan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2016 menyertai JDT pada 2017 namun gagal mengekalkan kedudukan sebagai pilihan utama di barisan depan dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan, sebelum ‘ditolak’ beraksi bersama JDT II dalam Liga Premier.

Kegagalan PJ City mendapatkan Hazwan Bakri bermakna tiada seorang pun pemain baru dibawa masuk skuad kendalian P.Maniam itu yang mempertaruhkan sepenuhnya kudrat pemain tempatan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Usaha mendapatkan khidmat Hazwan Bakri tak dapat reaksi dan kita akur, jadi tiada pemain baharu yang dibawa masuk dalam pasukan pada perpindahan kedua ini.

“Kelab akan menggunakan sepenuhnya pemain sedia ada bagi meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super,” kata pengurus pasukan, K.Rajendran.

Tambahnya lagi, “Saya sudah melontarkan cabaran kepada pemain PJ City agar tidak lemah semangat sebaliknya terus berusaha dan yakin pada keupayaan diri sendiri.

“Walaupun lawan membawa masuk tenaga baharu, ia tidak harus dijadikan halangan buat pemain PJ City untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.”

Sebagai rekod, PJ City menduduki tangga ketujuh Liga Super selepas 13 perlawanan, dengan mengutip 15 mata hasil tiga kemenangan dan enam keputusan seri.

Ketumpulan sentuhan penyudah menyaksikan mereka hanya menjaringkan 10 gol setakat ini, jumlah kedua terendah selepas Uitm FC.

Selain Darren Lok, penyerang tulen yang lain di dalam skuad PJ City adalah R.Kogileswaran manakala Mahali Jasuli (bek kanan) dan Khyril Muhymeen Zambri (pemain sayap) pula diubah peranan mereka sebagai penyerang oleh P.Maniam.

Di sebalik tiada kelibat pemain import, pasukan itu meletakkan sasaran berani menduduki kelompok lima terbaik bersandarkan kepada ‘resume cantik’ P.Maniam yang berjaya membimbing ramai pemain muda dari skuad Piala Remaja (Bawah-19) dan juga pasukan Piala Presiden (U-21), bermain pada tahap tertinggi.

“Walaupun kami membayar pemain dengan gaji tertinggi, ia tidak akan menjamin kemenangan untuk pasukan kami. Kami percaya dengan kerja kuat dan latihan yang betul serta disiplin yang bagus, ia akan membantu kami untuk membangunkan pasukan kami,” kata pemilik kelab itu Datuk Seri Vijay Eswaran ketika awal musim tempoh hari.

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.