JDT bukan pasukan yang suka pertikai pengadil dan buat kecoh dengan pasukan lawan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora berharap Natxo Insa menjadikan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia ke atasnya sebagai satu pengajaran dan dia berharap ia tidak diulangi pemain itu mahupun pemain lain selepas ini.

Dalam masa sama dia menegaskan pasukannya diterap mentaliti bermain bersih dan tidak suka terlibat dengan sebarang kekecohan bersama pegawai perlawanan mahupun pasukan lawan, namun sentiasa dipersalahkan.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan Natxo. Akibat tindakan itu dia dikenakan penggantungan dan denda. Tapi tidak boleh salahkan Natxo sahaja. Apa yang pasukan lain lakukan kepada kami juga tidak baik.

“Sudah tentu kesalahan terarah pemain saya. Dia juga tampak menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Natxo akan kembali beraksi bersama JDT dan saya berharap insiden itu tidak akan berlaku lagi. Kami tidak suka mempertikaikan keputusan pengadil. Malah kami juga tidak gemar beraksi secara agresif terhadap pasukan lawan.

“Apabila kami beraksi di padang, hanya satu sahaja matlamat utama kami iaitu bermain bola sepak dan mempamerkan aksi tatkikal yang ampuh. Bukan turun beraksi untuk menimbul kekecohan,” kata Benjamin Mora selepas perlawanan menentang Melaka United.

Mengenai kemenangan 3-0 ke atas Melaka United, jurulatih dari Mexico itu berkata, “Sebelum aksi menentang MUFC, kami menilai apa yang berlaku ketika seri dengan Selangor FC dan Perak FC. Hasilnya kami tampil lebih bertenaga tatkala pemain menunjukkan karakter positif dan melupakan pengalaman pahit dua perlawanan lalu.

“Walaupun tanpa Natxo yang digantung dua perlawanan, kelibat Hariss Harun yang konsisten di posisi tengah membantu pasukan.

“Malah pemain yang jarang diturunkan seperti Adam Nor Azlin, memainkan peranan penting di posisi pertahanan selain turut menjaringkan gol. Begitu juga dengan Haziq Nadzli yang menepis bola rembatan Sony (Norde) di awal minit pertama beri lebih keyakinan kepada dirinya untuk beraksi konsisten menjaga gawang. Dia tunjuk kematangan di benteng terakhir JDT.

“Tidak dinafikan kehadiran penyokong walaupun dalam skala kecil menyuntik lagi semangat pemain memperaga corak permainan mantap dan ia beri kesan positif terhadap pemain yang enggan mengecewakan peminat.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.