Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakJDT gagal ubah nasib, peluang ke pusingan kedua tertutup

JDT gagal ubah nasib, peluang ke pusingan kedua tertutup

Johor Darul Takzim (JDT) mengalami kekalahan ketiga dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021, selepas kecundang 0-2 kepada Pohang Steelers pada Khamis.

Kekalahan kedua berturut-turut kepada wakil dari Korea Selatan itu juga menyaksikan peluang skuad Harimau Selatan untuk melangkah ke pusingan seterusnya sudah tertutup.

Ini kerana walaupun JDT memenangi baki dua perlawanan Kumpulan G menentang Ratchaburi FC dan Nagoya Grampus manakala Pohang Steelers pula kebetulan tewas kedua-dua baki perlawanan mereka, JDT tetap tidak boleh memintas Pohang Steelers berdasarkan head to head record.

Ini bakal menyaksikan JDT tersingkir di peringkat kumpulan buat musim ketiga berturut-turut.

Berita berkaitan : Anda akan saksikan JDT yang berbeza dalam tiga perlawanan berikutnya

Dalam aksi berlangsung di Stadium Rajamangala itu, Benjamin Mora menurunkan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Matthew Davies di dalam kesebelasan utama menggantikan menggantikan Mauricio dan Azrif Nasrulhaq yang menjalani penggantungan.

Safawi Rasid juga diturunkan pertama kali di dalam kesebelasan utama dan pemain sayap itu hampir memecah kebuntuan pada minit ke-16 namun bola sepakan percuma dari luar kotak penalti singgah di tiang gol kanan.

JDT bagaimanapun ketinggalan pada minit ke-33 selepas Goh Young-jun bijak melorongkan bola kepada Lee Seung-mo yang tidak dikawal dan pemain itu mudah merembat bola tepat ke penjuru kiri menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pohang Steelers menambah derita JDT pada minit ke-37 apabila bola umpanan Boris Tashti menyaksikan kapten Kang Sang-woo mudah melepasi perangkap ofsaid dan merembat bola menewaskan Farizal.

Kemasukan Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh bagi menguatkan jentera serangan pada separuh masa kedua juga tidak membantu JDT untuk bangkit, sebaliknya kelebihan 2-0 memihak skuad kendalian Kim Gi-dong sehingga tamat perlawanan.

JDT ketika ini menghuni tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata, hasil kemenangan ke atas Ratchaburi FC.

Mereka akan turun menentang Nagoya Grampus dalam aksi kelima pada Ahad ini, dan kemudiannya melengkapkan jadual aksi peringkat kumpulan dengan menentang Ratchaburi pada Rabu depan.

Foto : Johor Southern Tigers

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.