“JDT Kena Menang Piala Malaysia Untuk Kejar Dan Padam Rekod Selangor”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ayuh leburkan rekod Selangor dan cipta rekod baru!

Bekas pemain Johor, Rizal Sukiman yang berharap Johor Darul Takzim dapat menjulang Piala Malaysia 2021 seterusnya mengukuhkan reputasi mereka selaku pasukan terbaik dalam kancah bolasepak tempatan.

Menurut pemain itu yang memenangi Piala Malaysia pada 1991, JDT telah memecahkan banyak rekod sejak 2013 dan perlu mengintai untuk memadam pula rekod 33 kali juara Piala Malaysia milik Selangor.

Meskipun pencapaian Selangor itu masih terlalu jauh untuk dipecahkan, Rizal berpendapat kemenangan ke atas KL City pada Selasa ini adalah penting untuk menjadi pemangkin motivasi buat pasukan selatan tanah air itu.

“Selepas Liga Super, mereka kena menang Piala Malaysia pula. Sebab kalau cerita mengenai Piala Malaysia, orang akan bercakap mengenai Selangor kerana mereka menang 33 kali.

“JDT perlu jadikan ini sebagai motivasi dan untuk itu, mereka perlu sasarkan untuk menang sebanyak 34 kali pula untuk padamkan rekod lama dan cipta sejarah baharu.

“Kita tengok sahaja seperti Cristiano Ronaldo, selepas padamkan rekod jaringan Ali Daei, dia cuba untuk padamkan rekod Datuk Soh Chin Ann pula. Dia mahu jadi yang paling atas supaya boleh dipanggil yang terbaik.

“Kalau JDT pun turut sapu Piala Malaysia, saya rasa pasukan lain pun akan rasa tercabar dan secara tidak langsung mereka akan terus menambahbaik pasukan. Ini akan jadikan bola sepak kita lebih bersaing,” katanya kepada BH Sukan.

JDT muncul naib juara Piala Malaysia pada penampilan final pertama mereka pada 2014 sebelum memenangi piala berprestij itu buat pertama kali pada 2017 dengan menewaskan Kedah.

Mereka kemudian mengulangi pencapaian itu pada 2019, juga dengan menewaskan Kedah dalam aksi final.

Pasukan kendalian Benjamin Mora yang mara ke pentas final edisi kali ini dengan menyingkirkan Terengganu dilihat sebagai pilihan untuk mempertahankan kejuaraan namun skuad Bojan Hodak pastinya tidak akan memberi laluan mudah tatkala mereka juga bersemangat mahu mengulangi kejayaan mendakap Piala Malaysia buat kali terakhir pada 1989.

Foto : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.