“JDT Menang Orang Tak Heran Pun, Bila Kalah Ramai Yang Suka”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengatakan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 tidak akan menjadi buah mulut sekiranya ia dimenangi oleh Johor Darul Takzim (JDT).

Mengambil kira semua tahu reputasi hebat JDT sebagai pasukan pilihan mutlak, sememangnya kekalahan mereka dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, tidak dijangka dan merupakan satu kejutan besar seterusnya membuatkan pasukan itu menjadi sasaran troll dalam kalangan penyokong.

Malah, Sanusi sendiri tidak ketinggalan untuk berseloroh mengenai kekalahan dialami JDT bimbingan Benjamin Mora dan memberitahu bolasepak menjadi lebih menarik dan menyeronokkan jika berlaku perkara atau keputusan luar jangkaan.

“Kan semua orang seronok kalau JDT kalah. Kalau JDT menang orang tak heran pun kan, kalau kalah orang suka,” ujar Sanusi ketika berucap di Majlis Kebajikan Keluarga Kedah 2021 bersama anak-anak Kedah di Mesir.

Beliau juga sempat berpantun dalam majlis berkenaan, “Anak-anak yang dikasihi sekalian, saya ada pantun. Satgi saya takut saya lupa. Dari Kedah ke Singapura, singgah di KL membeli gula, saya membawa berita gembira, JDT kalah lawan bola.”

KL City mencatat kemenangan 2-0 menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paolo Josue untuk menoktahkan kemarau 32 tahun pasukan itu mendakap trofi Piala Malaysia.

Sementara itu, pasukan Kedah Darul Aman FC pada Rabu mengumumkan seramai tujuh pemain tidak lagi akan bersama pasukan itu pada musim baru, termasuklah kapten pasukan Baddrol Bakhtiar.

Badrrol yang telah bersama KDAFC selama 16 tahun memilih haluan berbeza dan sah menyertai Sabah FC.

“Jasa beliau cukup besar selepas mengharungi perit jerih, jatuh bangun dan seterusnya berjaya mencipta nama antara pemain yang merekodkan penjaring gol tempatan paling tinggi, antara pemain yang setia dan paling lama bersama sebuah pasukan selain telah memenangi semua kejuaraan domestik di Malaysia!

“Jasa untuk dikenang, dan Baddrol akan kekal selamanya antara cerita legenda bolasepak di negeri jelapang padi!,” kata kenyataan kelab itu.

Turut meninggalkan pasukan adalah pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali dan pemain pertahanan pinjaman dari Selangor, Rodney Celvin Akwensive yang mencuri perhatian susulan prestasi cemerlangnya di jantung pertahanan Kedah.

Empat lagi pemain musim lepas yang tidak akan bersama KDAFC musim hadapan adalah Mohd Fairuz Zakaria, Muhammad Faizat Ghazli, Mohd Fandi Othman dan Tam Sheang Tsung.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.