JDT sia-siakan dua penalti tatkala dominasi disekat DNA Jerman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selangor FC menjadi pasukan pertama untuk mencuri mata dari Johor Darul Takzim (JDT) musim ini setelah mengikat juara bertahan Liga Super itu 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, pada Rabu.

Tuan rumah turun dengan keyakinan tinggi untuk memburu kemenangan keempat berturut-turut dan mengekalkan permulaan sempurna bagi musim 2021 namun mendapati skuad bimbingan Karsten Neitzel terlalu liat untuk dijinakkan.

Jaringan oleh Bergson Da Silva pada minit ke-12 memadam kelebihan awal yang diraih gergasi merah kuning menerusi jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ketujuh untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Namun JDT pastinya menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyempurnakan deretan peluang keemasan termasuk dua sepakan penalti yang menyaksikan mereka berputih mata.

Penalti pertama dihadiahkan pada minit ke-41 selepas bintang muda JDT Arif Aiman dijatuhkan oleh Ashmawi Yakin namun sepakan diambil oleh Gonzalo Cabrera melambung tinggi melewati palang.

Manakala sepakan penalti kedua pula pada minit ke-78 selepas giliran Ahmad Zikri Khalili pula menjatuhkan Arif Aiman, namun sepakan Bergson Da Silva diselamatkan dengan cemerlang oleh Khairul Azhan Khalid.

Di sebalik keputusan seri, JDT kekal mendahului carta liga dengan 10 mata berikutan pasukan tangga kedua, Terengganu FC turut gagal mengutip tiga mata menentang Melaka United.

Terengganu FC memerlukan jaringan penyamaan Jordan Mintah pada minit ke-66 untuk mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri, selepas Melaka United terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti Alex Goncalves pada minit ketiga.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu kekal di tangga kedua menerusi beza jaringan.

Sementara itu, Kuala Lumpur City FC pula melonjak ke tangga ketiga liga selepas membelasah Perak FC 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Skuad bimbingan Bojan Hodak meraih jaringan menerusi Dominique Da Sylva di separuh masa pertama manakala Romel Morales menambah dua jaringan di separuh masa kedua.

Kedah Darul Aman FC pula bangkit daripada ketinggalan untuk menghadiahkan PJ City kekalahan pertama musim ini dalam aksi di Stadium Darul Aman.

PJ City mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi sepakan penalti R.Kogileswaran namun skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak meledak tiga jaringan di babak kedua menerusi Baddrol Bakhtiar, Kpah Sherman dan Fayyadh Zulkifli Amin untuk mencatat kemenangan 3-1.

Kemenangan membolehkan Kedah melonjak ke tangga keempat dengan tujuh mata.

Foto ehsan : Selangor FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.