JDT terciduk di laman sendiri, Sri Pahang merana lagi di Bandaraya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaringan tunggal pemain sayap Hakimi Abdullah menghadiahkan kemenangan sensasi 1-0 buat Terengganu FC ke atas Johor Darul Takzim, sekaligus meleburkan rekod cemerlang skuad Harimau Selatan yang tidak tewas dalam 21 perlawanan Liga Super sejak 2019.

Lebih manis buat skuad bimbingan Nafuzi Zain, kemenangan itu dilakar di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, menyaksikan JDT rebah di gelanggang yang digunakan sebagai venue rasmi sejak 15 bulan lalu itu buat pertama kali.

Kali terakhir JDT tewas adalah pada 16 Julai 2019 kepada PJ City, juga di laman sendiri, tetapi ketika itu di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos Larkin.

Kemenangan menyaksikan Terengganu FC kembali melonjak ke tangga kedua dengan 21 mata, kini ketinggalan hanya dua mata di belakang JDT bimbingan Benjamin Mora.

Pada perlawanan itu, JDT terpaksa membuat dua pertukaran seawal separuh masa pertama setelah S.Kunanlan dan Mauricio Nascimento mengalami kecederaan.

Meskipun kedua-dua pasukan mempunyai peluang, separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Pada minit ke-56 salah faham antara Syamer Kutty Abba dan Adam Nor Azlin dimanfaatkan Hakimi yang merampas bola dan melakukan rembatan menewaskan Farizal Marlias sekaligus menjadi gol tunggal perlawanan.

Sementara itu, Penang FC pula membuatkan Sri Pahang FC terus merana, setelah mencatat kemenangan 3-0 di Stadium Bandaraya.

Jaringan Endrick Dos Santos Parafita pada minit ke-11 disusuli Danial Ashraff Abdullah pada minit ke-26 dan Jafri Firdaus Chew pada minit akhir permainan memberikan kemenangan kelima buat Penang FC manakala Sri Pahang kendalian Dollah Salleh tewas buat kali ketujuh musim ini.

Ia turut menyaksikan rekod buruk Sri Pahang berterusan apabila kekal dengan satu kemenangan sahaja dalam 10 perlawanan yang telah diharungi.

Satu lagi perlawanan menyaksikan PJ City mencatat kemenangan 1-0 ke atas Uitm FC menerusi jaringan tunggal M.Manimaran pada minit ke-82.

Ia kemenangan ketiga PJ City kendalian P.Maniam, manakala bagi Uitm pula kekalahan kesembilan musim ini menyaksikan mereka kekal menghuni tangga tercorot.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.