JDT Tidak Tunjuk Simpati, Lakar Kemenangan Terbesar Musim Ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim (JDT) nampaknya tidak sedikitpun menunjukkan simpati kepada Perak FC, apabila mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas pasukan bermasalah itu seterusnya mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Liga Super.

Ia adalah kemenangan ke-12 dalam 16 perlawanan buat skuad Benjamin Mora, menyaksikan mereka kini berada dalam landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan buat musim kelapan berturut-turut.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, pesta gol JDT dimulakan penyerang import Bergson da Silva pada minit ke-20 untuk kedudukan 1-0 di separuh masa pertama.

Penyerang dari Brazil itu kemudian menambah dua lagi jaringan pada minit ke-47 dan 59 untuk skuad harimau selatan selesa mendahului 3-0.

Gonzalo Cabrera menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-83 dan menambah satu lagi gol menerusi sepakan penalti dua minit kemudian untuk melengkapkan kemenangan terbesar JDT bagi saingan Liga Super 2021.

Ini adalah kali kedua Perak FC tumbang dengan jaringan 0-5 musim ini.

Hanya pada minggu lalu, mereka tewas 0-5 kepada Terengganu FC dan kekalahan terbaru ini meletakkan skuad kendalian Chong Yee Fatt kekal menghuni tangga kesebelas dengan 13 mata.

Sementara itu, Selangor FC pula akhirnya menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan terakhir selepas membenam Penang FC 4-1.

Ifedayo Olusegun meletakkan Red Giants di depan pada minit ke-19 menerusi sepakan penalti namun David Rowley menyamakan kedudukan pada minit ke-40 untuk kedudukan 1-1 di separuh masa pertama.

Jaringan Danial Asri pada minit ke-49, Sean Selvaraj (m-57) dan satu lagi gol Ifedayo pada masa kecederaan menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Karsten Neitzel membolehkan mereka mengumpul 23 mata dan terus menghambat kedudukan empat teratas.

Dalam satu lagi aksi, KL City bimbingan Bojan Hodak pula berputih mata pada saat akhir, apabila diikat Melaka United 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

KL City mendahului menerusi Zhafri Yahya pada minit ke-53 namun skuad Zainal Abidin Hassan mencuri satu mata menerusi jaringan Jang Sukwon pada masa kecederaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.