Jika bukan kerana Adham Baba, Diaz mungkin tak menang emas Olimpik 2020

Olimpik 2020
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Siapa sangka di sebalik kejayaan atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz merangkul pingat emas di Sukan Olimpik 2020, ada peranan besar dimainkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Pejabat Menteri Kesihatan mendedahkan Dr Adham telah menerima permohonan daripada duta besar Filipina ke Malaysia agar Hidilyn Diaz menerima suntikan lengkap vaksin AstraZeneca dalam tempoh lebih singkat.

Dr Adham pantas meluluskan permohonan tersebut bagi membolehkan dia dan jurulatihnya berangkat ke Tokyo untuk menyertai Olimpik 2020.

Hidilyn Diaz pada Isnin lalu melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama Filipina memenangi pingat emas pada temasya sukan Olimpik.

Hidilyn yang kini berusia 30 tahun mengucup kilauan emas apabila memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita di venue Tokyo International Forum.

Sebagai rekod, kisah Diaz sebelum ini terkandas di Malaysia sejak Januari lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, beliau terpaksa menjadikan garaj rumah keluarga angkatnya di Jasin, Melaka sebagai lokasi latihan.

Sementara itu, dalam satu laporan disiarkan Astro Awani, pemilik rumah berkenaan Ahmad Janius Abdullah yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, dia mula mengenali Hidilyn sejak tahun 2011 dalam pertandingan angkat berat.

Bermula dari situ, mereka sering berhubung sehingga pada tahun lalu, atlet wanita berusia 30 tahun itu memaklumkan ingin mengubah angin berlatih di Malaysia sebagai persiapan untuk kelayakan Olimpik di Colombia pada Mac 2020 lalu.

“Bagaimanapun, kejohanan itu dibatalkan menyebabkan Hidilyn bersama dua jurulatihnya terkandas di ibu negara ekoran PKP dan tetap meneruskan latihan di kondominium di Bukit Jalil sebelum menumpang pula di Pusat Latihan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

“Atas beberapa faktor yang menyebabkan latihan mereka sering terganggu, saya kemudian mengambil keputusan membawa mereka ke rumah pusaka ibu mertua di Kampung Kesang Tua sebelum memulakan latihan di garaj berkenaan.

“Lama-lama kita santuni dia sebagai tetamu dan atlet, dan kita tunjukkan bahawa di Malaysia ni, kita boleh jaga dia walau dia jauh dari keluarga,” ujar Ahmad Janius.

Kata Ahmad Janius lagi, rumah pusaka itu awalnya hanya dipenuhi belukar sebelum dia membuat beberapa pengubahsuaian bagi membantu latihan Hidilyn memandangkan atlet itu perlu ruang latihan yang selesa.

Tambahnya, meskipun pada awalnya Hidilyn kekok untuk membiasakan diri dengan suasana kampung itu, namun lama-kelamaan dia bukan sahaja mengakui selesa, malah jatuh cinta dengan suasana Melaka termasuk masakan popular, asam pedas.

Ujar Ahmad Janius, Hidilyn sangat komited dan berdisiplin sepanjang menjalani latihan malah mempunyai peribadi sangat baik apabila tidak lupa menghubunginya sebelum memulakan kejohanan serta selepas dinobatkan sebagai juara.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.