“Jika Kami Bagi 100 Peratus, Pasukan Lawan Takkan Dapat Peluang” – Benjamin Mora

Benjamin Mora
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora mengakui kebimbangan utamanya di dalam mengharungi baki lapan aksi Liga Super 2021 adalah prestasi barisan pemainnya sendiri, bukan prestasi pasukan lawan.

JDT ketika ini sedang menerajui Liga Super dengan 33 mata, kelebihan tiga mata mengatasi Terengganu FC tetapi ini adalah kali pertama sejak beberapa tahun skuad harimau selatan mencicirkan sehingga sembilan mata selepas 14 perlawanan.

Mereka seri tiga kali dan tewas sekali ketika pusingan pertama, dan memulakan aksi pertama Liga Super selepas rehat lebih dua bulan dengan sedikit goyah ketika menentang Uitm FC sebelum menang bergaya 3-1.

Aksi seterusnya, JDT akan menentang pasukan tangga kelima Selangor FC di Petaling Jaya pada Rabu dan Benjamin Mora berharap pemain akan tampil agresif untuk mengekalkan momentum kemenangan.

“Pemain perlu fokus apabila beraksi di padang dan ia penting untuk tampil dengan prestasi yang lebih baik dan itu yang saya harapkan. Dari situ baru saya dapat nilai kerana saya tidak bimbang dengan prestasi Selangor FC.

“Saya tidak terlalu risaukan Selangor FC, saya risau akan JDT, saya risaukan permainan JDT, sebabnya jika JDT melakukan tugasnya secara 100 peratus ia akan menjadi sangat sukar untuk pasukan lawan mendapatkan peluang tapi jika kami tidak fokus dan memberikan peluang, mereka akan hukum kami,” kata pengendali dari Mexico itu.

Benjamin Mora sedar Selangor FC akan menjadi lawan yang sukar memandangkan skuad bimbingan Karsten Neitzel itu terdesak untuk menoktahkan kemarau kemenangan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam liga.

Red Giants tidak menang tiga perlawanan terakhir, mereka terikat 1-1 menentang Kuala Lumpur City pada Sabtu lalu manakala sebelum itu tewas kepada Terengganu FC dan seri menentang Sri Pahang.

Berita berkaitan : Mengimbau 5 pertembungan terakhir Selangor dan JDT

Sebagai rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Selangor FC berjaya membawa pulang satu mata setelah mencatat keputusan seri 1-1.

Ifedayo Olusegun menjaringkan gol seawal minit ketujuh manakala jaringan penyamaan JDT dihasilkan Bergson Da Silva pada minit ke-12. JDT juga gagal menyempurnakan dua sepakan penalti dalam perlawanan itu menerusi Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.