“Jika pengadil berlaku tidak adil, pemain akan hilang sabar”

Aidil Shahrin pengendali KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman (KDA) mengalami kekalahan pertama selepas enam perlawanan apabila membenarkan Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Darul Aman.

Begitupun perkara yang lebih mencuri tumpuan sudah tentunya dua kad merah dilayangkan kepada pemain KDA pada masa kecederaan, menyaksikan mereka menamatkan aksi dengan sembilan pemain.

Kad merah pertama yang dilayangkan adalah kepada Fadzrul Danel kerana menolak pengadil Nor Azriel Baharuddin (pengadil sama yang ditolak oleh Natxo Insa pada 21 Mac lalu) dan kali ini dia tampak lebih berani dan tegas membuat keputusan.

Tindakan Fadzrul Danel itu dipercayai kerana tidak berpuas hati tiada sepakan penalti diberikan kepada KDA walaupun bola dilihat terkena tangan pemain Terengganu FC ketika skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak itu terdesak memburu gol penyamaan.

Bagi Aidil Shahrin, bukanlah dia mahu mempertahankan tindakan pemain mudanya itu, malah dia juga tidak menyalahkan pengadil, tetapi dari sudut pandangnya situasi itu tidak akan tercetus jika Nor Azriel mengendalikan situasi itu dengan lebih baik.

“Saya yakin 100 peratus (sepatutnya penalti). Saya tidak katakan pengadil salah, tetapi saya telah melihat video insiden tersebut.

“Ia sangat-sangat jelas dan mengecewakan. Mereka (Terengganu) dapat penalti berpunca daripada perkara yang sama. Saya tidak tahu. Saya tidak mahu mengulas mengenai pengadil, jadi saya serahkannya kepada bahagian pengadil untuk melihatnya.

“Jika anda tidak berlaku adil, para pemain akan mula hilang sabar dalam perlawanan, terutamanya dalam aksi berintensiti tinggi sebegini.

“Perkara yang sama berlaku dalam aksi JDT berdepan Perak. Saya harap ia (kualiti pengadilan) akan ditambahbaik selepas ini,” ujar Aidil Shahrin sambil menekankan bahawa pasukannya tidak berhak untuk kalah kerana telah menguasai perlawanan dan bermain dengan lebih baik.

“Para pemain telah buat yang terbaik. Kami kawal perlawanan dan bermain lebih baik berbanding Terengganu. Kami tidak sepatutnya kalah dengan cara kami bermain. Mereka memiliki dua peluang dan memanfaatkannya.

“Saya simpati dengan pemain-pemain saya kerana mereka telah bekerja keras tetapi keputusan tidak memihak kepada kami. Apapun kami perlu terima kekalahan ini dan terus bergerak ke depan,” tambah pengendali dari Singapura itu.

Pada perlawanan itu, KDA mendahului menerusi jaringan sendiri Muhamad Mohd Fauzi sebelum Terengganu FC menyamakan kedudukan menerusi penalti David Da Silva.

Azam Azmi Murad menyempurnakan hantaran Faisal Halim untuk mengesahkan tiga mata buat sang penyu.

Foto kredit : Kedah Darul Aman Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.