‘Jika Selangor menang, Maradona kata nak tanggung perbelanjaan kami main di Argentina’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kata-kata cabaran dilontarkan legenda bolasepak dunia, Diego Armando Maradona ketika pertembungan antara Pilihan Selangor menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka pada Januari 1982 kembali dikenang bekas pemain kebangsaan Zainal Abidin Hassan.

“Sebelum perlawanan Maradona kata jika kami berjaya untuk menewaskan Boca Juniors, dia akan menanggung kesemua perbelanjaan pasukan untuk bermain perlawanan ulangan di Argentina dan ia betul-betul membakar semangat kami.

“Kami memberikan mereka tentangan yang cukup sengit tetapi Boca Juniors adalah pilihan nyata dan mencatat kemenangan tipis pada akhirnya,” kata Zainal Abidin yang berusia 21 tahun ketika itu.

Maradona yang dianggap salah seorang pemain bolasepak terbaik pernah disaksikan dunia dan pemenang Piala Dunia 1986 bersama Argentina meninggal dunia pada lewat malam Rabu kerana serangan jantung.

“Saya cukup sedih Maradona sudah tiada, dia adalah seorang pemain yang sangat saya kagumi kerana kualiti bolasepaknya. Dia adalah seorang genius bolasepak dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada dunia bolasepak.

Bercerita lanjut tentang pengalaman manis pada 1982 itu, Zainal berkata, “Apabila mendapat tahu pasukan akan bermain menentang Boca Junior, saya begitu teruja kerana akan mendapat peluang untuk bersemuka dengan idola saya.

“Saya ketika itu bermain di posisi bek kanan dan mengalami kesukaran untuk fokus pada perlawanan kerana Maradona. Dia terlalu lincah dan pergerakannya bersama bola adalah menakjubkan. Ianya sukar untuk merampas bola atau menyainginya.

“Apa yang membuatkan saya lebih kagum, Maradona seorang pemain yang cukup merendah diri dan menghormati lawan. Kami beberapa kali bertembung dan berebut bola sepanjang perlawanan, apabila terjatuh dia pantas menghulur tangan membantu saya bangun.

“Bagi saya, perlawanan itu memberi pengajaran terbaik dalam hidup, satu perlawanan itu sama dengan 100 perlawanan bolasepak tempatan. Banyak yang anda boleh belajar dari seorang superstar bolasepak antarabangsa.

“Satu-satunya penyesalan saya adalah saya mahu bergambar dengannya tetapi terlalu ramai orang sedang menunggu peluang itu, menyebabkan pada akhirnya saya sekadar dapat merakam gambar berpasukan dengannya selepas perlawanan,” kata Zainal Abidin.

Foto : Hmetro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.