Johan Kamal cadang supaya Liga Super ditangguhkan, MFL kekal dengan perancangan asal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berpendapat saingan Liga Super yang akan membuka tirainya pada 26 Februari depan sewajarnya ditangguhkan memandangkan persiapan hampir kesemua pasukan terjejas dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Majlis Keselamatan Negara melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor serta PKP-B di enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga 26 Januari depan menyebabkan sesi latihan setiap pasukan terpaksa ditangguhkan.

Setiap pasukan hanya mempunyai tempoh kira-kira empat minggu sahaja selepas itu untuk merancakkan persiapan sebelum aksi pembuka tirai Liga Super dan Liga Premier – itupun kalau PKP tidak disambung, sesuatu yang mungkin tidak terjadi mengambil kira kes harian yang semakin mencanak naik.

Adalah diketahui, setiap pasukan memerlukan setidak-tidaknya enam minggu sebagai tempoh ideal untuk mempersiapkan pasukan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan bagi mengharungi aksi kompetitif Liga Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, badan itu sudah ada langkah-langkah tertentu jika keadaan ini berterusan bagi memastikan semua pertandingan di Liga Malaysia 2021 dapat berlangsung seperti dirancang.

Namun, memandangkan tempoh pelaksanaan PKP buat masa ini hanya selama dua minggu iaitu dari 13 ke 26 Januari ini, beliau menegaskan perancangan asal Liga Malaysia masih kekal iaitu memulakan saingan pada 26 Februari.

“MFL menerima langkah kerajaan dalam melaksanakan PKP bagi negeri-negeri tertentu kerana indeks kes COVID-19 yang semakin tinggi dan kami faham akan keperluan berkenaan. Sememangnya besar harapan kami agar PKP ini tidak berpanjangan kerana kalendar Liga Malaysia telah dikeluarkan termasuk piala-piala tertentu bagi memastikan musim 2021 lebih lancar dan teratur.

“Bagaimanapun, MFL sudah ada pengalaman pada musim 2020 dan kita ada langkah-langkah tertentu jika situasi ini berpanjangan atau ada masalah sebagainya. Cuma buat masa ini perancangan MFL masih kekal dengan kalendar sedia ada kerana situasi sekarang masih di peringkat awal memandangkan kita masih di bulan Januari berbanding sebelum ini PKP yang dilaksanakan pada Mac.

“Jika PKP ditarik balik pada 26 Januari, maka semua pasukan mempunyai masa yang cukup mengadakan persiapan pra-musim bagi hadapi liga yang akan bermula dengan Piala Sumbangsih pada 26 Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.