Jordan Mintah Tak Gerun Dengan Kehadiran Sherman, Sasar Kasut Emas 2022

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kemasukan Kpah Sherman untuk mengemudi jentera serangan Terengganu FC tidak menghalang Jordan Mintah meletak sasaran tinggi muncul penjaring terbanyak Liga Super 2022.

Pemain dari Ghana itu berkata musim 2021 telah meninggalkan kenangan manis buat dirinya yang berjaya mencipta nama dan menjadi antara penyerang digeruni selepas meraih 25 gol secara keseluruhan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Dia menjaringkan 16 gol di Liga Premier, 4 dalam saingan Liga Super dan 5 gol dalam kempen Piala Malaysia dan berazam meneruskan sentuhan itu pada musim baru.

“Ia satu pengalaman yang sangat manis dan dengan sokongan yang saya dapat daripada penyokong cukup menggembirakan saya untuk musim ini.

“Cuma saya selalu cakap dekat diri sendiri yang saya ingin menjadi lebih baik daripada sekarang pada setiap musim dan kena bekerja lebih keras.

“Musim depan saya akan cuba kejar untuk menjadi penjaring terbanyak dan ia satu kepuasan sebenarnya apabila dapat menjaringkan gol untuk pasukan,” katanya yang memutuskan untuk kekal bersama Terengganu walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor.

Mengenai kehadiran Kpah Sherman, Jordan Mintah mengakui bekas penyerang Kedah itu adalah penambahan berkualiti ke dalam skuad dan tidak menganggap pemain itu boleh menutup peluangnya untuk menyerlah.

Walaupun bakal bersaing sengit dengan Kpah Sherman untuk memenangi tempat dalam pasukan, Jordan Mintah tidak melihat situasi itu daripada sudut negatif kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana mereka perlu bekerjasama untuk memantapkan lagi pasukan selain menganggap ia akan menjadi persaingan sihat untuk sama-sama memperbaiki prestasi ke tahap terbaik.

“Kpah (Sherman) merupakan pemain yang cukup bagus dan saya percaya kami berdua akan menjadi gandingan terbaik untuk sama-sama memantapkan lagi bahagian serangan.

“Saya tidak anggap dia sebagai pencabar dan saya melihat kehadiran dia dari sudut positif untuk kami bekerjasama dan saya percaya dengan percaturan jurulatih nanti untuk pasukan.

“Saya tengok dia (Sherman) seorang pemain yang sentiasa berjuang di atas padang, begitu juga dengan saya dan sebab itu, saya rasa dengan adanya dia, pasukan akan bertambah baik dan kami berdua bersedia untuk bantu pasukan,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.