Jordan Ratah Harimau Malaya Tanpa Belas Kasihan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad kebangsaan dihadiahkan igauan buruk dalam aksi antarabangsa pertama selepas hampir empat bulan, apabila dibelasah Jordan 4-0 di Stadium Raja Abdullah pada Rabu.

Tanpa lebih separuh daripada pemain-pemain yang beraksi ketika aksi antarabangsa terakhir menentang Thailand pada bulan Jun lalu, Tan Cheng Hoe membuat beberapa rombakan pada kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Khairul Azhan Khalid mengekalkan tempatnya di gawang; Aidil Zafuan dan Irfan Zakaria digandingkan di jantung pertahanan manakala Rizal Ghazali dan Ariff Farhan Md Isa mengisi posisi bek kanan dan kiri.

Akram Mahinan, Baddrol Bakhtiar, Nazmi Faiz Mansor serta Faisal Halim di tengah, sementara Syafiq Ahmad dan Guilherme De Paula pula di barisan depan.

Babak awal permainan kedua-dua pasukan beraksi dengan tempo perlahan dan tidak banyak mencipta peluang, namun perlawanan mula rancak selepas 30 minit berlangsung dengan Jordan mula melancarkan serangan demi serangan.

Dua kesilapan oleh pertahanan Harimau Malaya membolehkan Jordan bimbingan Adnan Hamad meledak dua gol untuk mendahului 2-0 di separuh masa pertama.

Gol pertama Jordan pada minit ke-34 terhasil selepas Ariff Farhan gagal untuk menghalang hantaran lintang dilakukan dan ia disudahkan oleh Ali Olwan.

Satu lagi kesilapan teruk yang tidak sepatutnya berlaku, kali ini salah faham antara Aidil Zafuan dan Khairul Azhan yang bertembung sesama sendiri membawa kepada gol kedua Jordan pada minit ke-42 menerusi Odai Al Saify.

Belumpun dua minit permainan bersambung di separuh masa kedua, kedudukan sudah menjadi 3-0 sekali lagi disebabkan kesilapan mudah oleh Irfan Zakaria yang menanduk bola ke belakang dan ia dimanfaatkan oleh Ali Olwan.

Dua minit selepas itu, Ali Olwan melengkapkan hatrik, jasa kesilapan berulang barisan pertahanan yang membuka ruang luas untuknya melakukan larian dan menewaskan Khairul Azhan di gawang.

Apa yang jelas pada perlawanan ini, terlalu banyak kesilapan berulang dilakukan barisan pertahanan dengan pertahanan kiri menjadi lubuk buat pasukan lawan untuk melancarkan serangan.

Skuad negara juga ketiadaan seorang jeneral untuk menghidupkan barisan tengah manakala di barisan depan meletakkan De Paula adalah satu tindakan sia-sia.

Dalam kata lain, skuad negara turun ke perlawanan ini seolah sekadar untuk menyepak bola dan mengelak kekalahan besar, dilihat tidak ada halatuju yang jelas.

Selepas ini Harimau Malaya akan bertemu Uzbekistan pada 9 Oktober.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.