Sebuah hospital swasta dikenakan kompaun RM200,000 gara-gara ghairah ‘membuat duit’ dengan menjual topeng muka melebihi harga maksimum.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah melakukan pemeriksaan dan siasatan ke atas hospital itu pada 13 Mei lalu setelah menerima laporan daripada seorang pesakit yang dikenakan caj RM201.60 bagi 18 keping topeng muka tiga lapisan yang digunakan jururawat ketika merawatnya.
Jumlah itu bersamaan RM11.20 sekeping, sedangkan harga maksimum yang ditetapkan kerajaan ialah RM1.50 sekeping.
Menurut kenyataan KPDNHEP kompaun itu dikenakan ke atas hospital berkenaan hari ini, ekoran kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa ditetapkan, pihak hospital akan dituduh di mahkamah. Penalti bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 18, AKHAP 2011 bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan didenda tidak melebihi RM500,000, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1,000,000.
“KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan topeng mudah diperolehi pada harga tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.”
Turut dirampas dalam pemeriksaan tersebut ialah sejumlah dokumen termasuk topeng tiga lapisan sama jenis daripada hospital berkenaan untuk tujuan siasatan.
Foto : KPDNHEP