Jualan jersi tak capai KPi, PUC Sports pula tarik diri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika ada anugerah pasukan paling malang, ia tidak lain milik pasukan Kelantan.

Masih ‘berkabung’ dengan pemotongan tiga mata yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelantan menerima satu lagi perkhabaran duka apabila pembekal pakaian rasmi PUC Sport pula membuat keputusan menarik diri daripada menaja mereka.

Baca : Tamparan terbaru buat KAFA, Wan Rakemi letak jawatan, After Image tarik diri

Pengarah Urusan PUC Sport, Shukry Pauzi, berkata langkah itu terpaksa diambil kerana jualan tidak mencapai sasaran ditetapkan malah perniagaan syarikat mengalami kerugian disebabkan pandemik Covid-19.

Selain itu, pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) juga tidak membantu untuk bersama-sama melariskan penjualan jersi.

Baca : Kelantan sasar Liga Super 2021, dakap satu piala – berkuburnya sebuah impian

Menurut Shukry lagi, justeru itu, pihaknya akan membuat lelongan jersi rasmi Kelantan secara besar-besaran sebanyak 8,000 helai (dewasa mahupun kanak-kanak) pada separuh harga menjelang perlawanan Liga Premier antara Kelantan menentang UKM FC pada 22 Ogos depan.

“Sepanjang saingan pasukan Kelantan dalam musim 2020, PUC Sport telah menjalankan tugas yang terbaik dengan membekalkan pakaian kepada pemain-pemain dan terima kasih memberi kepercayaan kepada kami,” ujarnya.

Sebagai tanda sokongan terakhir kepada pasukan Kelantan, PUC Sport menyumbang jersi kepada pemain-pemain dan barisan kejurulatihan sebelum memulakan latihan di Padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Pasir Tumboh pada Selasa.

Baca : Liga-M kembali, bermula dengan aksi PJ City-Terengganu, UKM-Kelantan

Kemelut melanda KAFA menjadi kritikal sejak penangguhan liga pada Mac lalu di mana mereka gagal mencari jalan untuk menjana kewangan pasukan.

Kemudiannya Datuk Wan Rakemi Zahari melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan TRW Sdn Bhd yang sekaligus menyaksikan After Image Sdn Bhd sebagai pemegang taruh terbesar TRWSB turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

Mereka selepas itu dihimpit tuntutan demi tuntutan daripada bekas pemain import dan tempatan mencecah lebih RM5 juta.

Pada 28 Jun, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Datuk Seri Afandi Hamzah direhatkan dari jawatan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden namun beberapa minggu kemudian Wan Rahim difahamkan telah meletak jawatan. Langkah itu dituruti beberapa exco lain.

Kegagalan pasukan itu membayar gaji selama 4 bulan kemudiannya menyebabkan beberapa pemain mula meluahkan kekecewaan di laman sosial dan beberapa pemain telahpun angkat kaki termasuk pemain import Kang Seung Jo.

Foto : Kelantan FA Official

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.