Jurulatih berprofil tinggi antara lebih 10 calon ganti Nidzam Adzha

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengakui sukar untuk mereka memilih ketua jurulatih baru bagi mengemudi pasukan itu musim depan berikut terdapat lebih dari 10 permohonan sama ada dari jurulatih tempatan, mahupun jurulatih asing.

Kuala Lumpur yang layak ke Liga Super 2021 terpaksa mencari pengganti Nidzam Adzha Yusoff berikutan dia tidak mempunyai Lesen Kejurulatihan Pro A sepertimana ketetapan Persatuan Bolasepak Malaysia justeru Nidzam akan bertindak sebagai penolong jurulatih pada musim baru nanti.

Baca : Kuala Lumpur tawar Felda United atau UKM FC jadi feeder team

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa dipetik dari Harian Metro, ”Kita terima banyak permohonan dari jurulatih tempatan mahupun asing, ada calon dari Jerman, Portugal, Australia malah ada antaranya berprofil tinggi dan cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan.

”Namun, setakat ini tiada keputusan lagi dibuat kerana kita mahu meneliti terlebih dahulu individu yang benar layak untuk mengendalikan Kuala Lumpur, dalam masa sama biarlah dia boleh bekerjasama tanpa masalah dengan jurulatih yang ada.

“Kita juga perlu melihat berapa gaji yang boleh kita tawarkan, sesuai dengan kedudukan kewangan, jadi mungkin paling awal kita putuskan pada November.”

Nokman juga memberitahu bahawa Nidzam Adzha akan diberi tanggungjawab untuk memilih pemain yang akan mewakili skuad warga kota pada musim depan kerana dia lebih mengetahui dan mengenali pemain-pemain yang layak disenaraikan.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur mengesahkan tempat ke Liga Super selaku pasukan kedua terbaik dari Liga Premier, mengiringi Pulau Pinang yang muncul juara.

Tahun ini pasukan itu dibarisi beberapa tonggak berpengalaman bolasepak tanah air antaranya Shukor Adan, S.Subramaniam, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Indra Putra Mahyuddin, Qayyum Marjoni dan juga Raimi Mohd Nor.

Mereka kali pertama beraksi di Liga Super pada tahun 2010 tetapi tersingkir ke Liga Premier pada 2012 selepas menduduki tangga tercorot liga.

Kuala Lumpur kembali semula ke Liga Super selepas enam tahun dengan menjuarai Liga Premier 2017 tetapi sekali lagi hanya bertahan selama dua musim apabila tersingkir ke Liga Premier pada 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.