Jurulatih UAE anggap Harimau Malaya mungkin menipu dalam aksi persahabatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert Van Marwijk berpendapat Harimau Malaya tidak menyerlahkan kekuatan sebenar dalam dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain baru-baru ini.

Malaysia tampil longlai terutama di separuh masa kedua ketika tewas 1-4 kepada Kuwait dan kemudian tewas 0-2 hasil kesilapan individu kepada Bahrain, pasukan ranking ke-98 dunia.

Malah, dia juga berpandangan sama mengenai Indonesia yang tewas kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Afghanistan (2-3) dan Oman (1-3), lantas melabel Harimau Malaya mahupun Indonesia cuba mengaburi mata mereka.

Malaysia dan Indonesia merupakan lawan yang akan ditentang UAE di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini.

“Keputusan perlawanan persahabatan Malaysia dan Indonesia itu kemungkinan besar hanya untuk menipu kami. Saya rasa mereka tidak menunjukkan kekuatan sebenar. Semuanya akan berbeza ketika kami bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.

“Kami sedang buat persiapan rapi untuk menghadapi Malaysia. Saya beritahu pemain saya, perlawanan itu wajib menang.

“Kami bekerja untuk dua sisi, pertama meningkatkan kefahaman pemain dan membiasakan diri dengan corak permainan dan kedua bermain dengan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan terutamanya perlawanan pertama kelayakan,” kata Van Marwijk kepada Albayan.ae.

Sebagai rekod, ketika aksi pusingan pertama dua tahun lalu, UAE bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Malaysia 2-1 dan kemudiannya membelasah Indonesia 5-0 – itu adalah dua kemenangan dicatat mereka dalam Kumpulan G.

Dua lagi perlawanan menentang Vietnam dan Thailand menyaksikan mereka tewas dan ketika ini menghuni tangga keempat kumpulan dengan enam mata.

Berbanding pasukan lain di dalam Kumpulan G, UAE tampak lebih gah dalam aksi pemanas badan di mana mereka mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas pasukan ranking ke-95 dunia, Jordan di Stadium Rashid, Dubai pada 25 Mei lalu.

Manakala pada bulan Mac lalu mereka membelasah India, 6-0.

Selepas menentang Malaysia pada 3 Jun, UAE akan berdepan Thailand pada 8 Jun, disusuli Indonesia pada 12 Jun dan aksi terakhir Vietnam pada 16 Jun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.