KAFA diarah bayar Alaeddine Bouslimi yang main tiga perlawanan sekitar RM157,000

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) telah diarahkan oleh FIFA untuk membayar tunggakan gaji seorang lagi pemain import, Alaeddine Bouslimi dalam tempoh 30 hari bermula 8 Jun lalu.

Ia dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzzakir Hamid yang mendedahkan jumlah yang perlu dibayar kepada Alaeddine Bouslimi adalah sebanyak USD37,000 atau sekitar RM157,000.

Arahan pembayaran kepada pemain pertahanan kelahiran Tunisia itu adalah yang ketiga diterima KAFA dalam tempoh kurang dua bulan selepas Cassio Francisco De Jesus berjumlah lebih RM600,000 serta Bruno Lopez berjumlah lebih RM140,000 – kesemuanya belum dijelaskan.

“Kita jangka ada lagi kes import dari FIFA, keseluruhan kalau tidak silap lapan import termasuk jurulatih. Kes import ini seperti biasa pihak peguam kita yang akan mulakan rundingan diketuai Tuan Alawi Rashid. Terima kasih tuan peguam yang bijaksana,” ujar Muzakkir.

Alaeddine Bouslimi menyarung jersi Kelantan pada tahun 2018, dibawa masuk oleh Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai pengganti kepada Nik Shahrul Azim yang menyertai PKNS FC pada jendela perpindahan kedua. Namun Alaeddine hanya sempat bermain tiga perlawanan sebelum disingkirkan.

Ironinya, Cassio, Bruno dan Alaeddine adalah pemain-pemain yang ditamatkan kontrak secara pra-matang oleh pengurusan di bawah Bibi Ramjani. Kesilapan menamatkan kontrak secara semberono tanpa berfikir panjang ketika itu kini membawa padah kepada KAFA.

Sementara itu Muzakkir menambah bahawa KAFA turut berdepan tuntutan dari bekas pemain tempatan di mana tempoh pembayaran berakhir 30 Jun.

“Kami di KAFA masih berusaha sedaya upaya, memberi keutamaan kepada tuntutan daripada pemain tempatan. Kami belum mengangkat bendera putih, masih berusaha sehingga titisan akhir, walaupun keseluruhan hutang adalah berjumlah lebih kurang RM5 juta.

“Hutang tahun lepas telah kita jelaskan berperingkat termasuk KWSP, LHDN, Perkeso dan bekas pemain import serta pelan pembayaran kepada bekas pemain yang membolehkan kita mendapat lesen bermain bagi tahun 2020.”

Mengenai kutipan Tabung Selamatkan Bolasepak Kelantan yang dilancarkan bulan lalu bagi membayar hutang Cassio Francisco, Muzakkir berkata ia setakat ini telah mengumpul RM25,000 dan kutipan akan diteruskan sehingga penghujung bulan Ogos depan.

Foto : Kelantan FA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.