KAFA minta calon runding secara pro, bukan cari publisiti murahan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membuka ruang kepada mana-mana syarikat atau individu persendirian untuk berunding secara profesional jika benar berminat untuk membeli pasukan itu, dan bukannya mencari publisiti murahan di media sosial.

Sebelum ini bekas pemain Piala Razak pasukan Kelantan Wan Kamal Wan Napi menyatakan minat mahu membeli pasukan Kelantan melalui tweet di laman sosial.

Beliau yang juga bapa kepada dua pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri dan Wan Kuzain bagaimanapun meletakkan syarat iaitu semua hutang lapuk pasukan itu perlulah dilangsaikan oleh pengurusan lama.

KAFA menerusi laporan akhbar difahamkan bersetuju dengan syarat diletakkan dan menetapkan RM3 juta sebagai harga jualan selain RM1 juta sebagai royalti.

Hanya beberapa hari kemudian Wan Kamal bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut setelah mengadakan perbincangan dengan peguam, keluarga dan kawan-kawan, atas alasan jarak jauh dan impak Covid-19 yang menyukarkan pergerakkan untuk menguruskan pasukan.

Baca : Wan Kamal tak jadi beli Kelantan sebab jauh

Pengerusi Jawatankuasa Media KAFA dalam satu kenyataan, berkata :

“Pihak kami ada membuat rundingan dengan Wan Kamal secara tidak rasmi dan belum ada apa-apa syarat konkrit yang ditetapkan kepada beliau.

“Isu hutang KAFA adalah tanggungan KAFA dan TRW tidak akan di bebani sebarang hutang lepas, hanya menumpu kepada pengurusan masa hadapan sahaja.”

“Isu bayaran royalti RM1 juta adalah munasabah dan masih boleh berunding dan kos ini adalah untuk pihak KAFA menanggung kos pengurusan san pembangunan Skuad Presiden, Belia serta bola sepak wanita yang menelan belanja lebih daripada RM1.5 juta setahun.

“Pihak pengurusan Esekutif KAFA membuka ruang kepada beliau atau mana-mana syarikat untuk berunding secara professional jika benar benar berminat dengan TRW dan bukan mencari publisiti murahan di media sosial.”

Selepas Wan Kamal menarik diri, difahamkan masih ada tiga calon yang berminat termasuklah usahawan dan pakar pelaburan Norizam Tukirman.

Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham meletakkan beberapa syarat termasuk KAFA perlu menunjukkan akaun semasa, perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.