“Kalah dengan UAE sekalipun, masih boleh menang dengan pasukan lain”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan berpendapat kekalahan dialami Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai peluang melangkah lebih jauh dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad negara tewas 1-4 kepada Kuwait pada 25 Mei lalu sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain pada 28 Mei, lantas membuatkan penyokong mula ragu sama ada skuad kendalian Tan Cheng Hoe boleh mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diketahui sebagai pasukan lebih kuat pada 3 Jun nanti.

Menurut Sathianathan, pemain-pemain perlu menggunakan tempoh masa yang berbaki untuk memperbaiki kelemahan, khususnya aspek kekuatan mental kerana cabaran bukannya terus berakhir dengan pertemuan menentang UAE, sebaliknya masih ada dua perlawanan untuk diharungi.

“Ini bukan pertandingan kalah mati, mereka perlu bina keyakinan dan mampu meraih keputusan yang baik dengan UAE selain mengambil kira perlawanan membabitkan Vietnam-Thailand.

“Kita mahu memenangi peperangan, bukannya sekadar pertarungan. Ia memerlukan (fokus) untuk satu per satu perlawanan.

“Kalau kalah kepada UAE (sekalipun), Malaysia masih berpeluang cerah berdepan pasukan lain. Jadi mereka perlu cuba dapatkan keputusan positif,” katanya yang kini menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United.

Sathianathan juga berpendapat secara keseluruhannya skuad Harimau Malaya menunjukkan peningkatan positif ketika kekalahan kepada Bahrain.

“Mereka melakukan kesilapan individu tetapi bukan macam ketika lawan Kuwait. Ini membabitkan konsentrasi, jadi dalam baki 5-6 hari ini, mentaliti mereka kena kuat. Adakala mereka tak perlu main cantik, contohnya di kawasan yang padat dengan pemain lawan dan bola itu seharusnya dikeluarkan.

“Berbanding bolos dengan tiga hantaran lintang dan satu sepakan percuma ketika menentang Kuwait, kali ini gol Bahrain datang daripada kesilapan kita sendiri, ini sesuatu yang positif,” ujar Sathianathan sambil menegaskan pemain-pemain bergelut mendapat rentak berikutan hanya mempunyai tempoh singkat untuk mengharungi musim ini.

“Persiapan Liga Super hanya lima minggu dan rata-rata pemain yang terlibat daripada sana sementara tiga lagi daripada Liga Perdana.

“Saya masih ingat lagi jurulatih Selangor (Karsten Neitzel) pernah meluahkan tempoh itu tidak mencukupi, jadi ia sedikit sebanyak mengganggu persiapan (skuad kebangsaan).

“Pasukan di Asia Barat seperti Kuwait, UAE dan Bahrain sudah bermain 4-5 perlawanan antarabangsa, (tetapi) kita sudah 18 bulan tidak beraksi dalam satu perlawanan pun.”

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.