“Kalau Bijak Uruskan Duit, Semua Boleh Jadi Macam JDT”

JDT
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B.Sathianathan berpendapat semua pasukan boleh mencipta kejayaan dan membina sebuah legasi sama seperti Johor Darul Takzim (JDT).

Mengakui teruja melihat apa yang dikecap pasukan selatan tanah air itu yang mendominasi saingan Liga Super sejak tujuh tahun lalu dan kini menghampiri gelaran kelapan, Sathianathan tegaskan ia disebabkan JDT mempunyai sebuah pasukan pengurusan yang hebat dan boleh bertindak dengan bijak.

“Pencapaian JDT ini boleh dianggap luar biasa dan jarang berlaku di liga negara-negara luar juga. Ini sebenarnya menunjukkan bagaimana pengurusan yang efisien dan profesional bergerak dengan baik sekali.

“Memang mereka banyak duit dan semua boleh buat bila ada duit. Tapi kena ingat, kalau ada duit tapi tak bijak menguruskannya, tak guna juga.

“Di JDT mereka guna duit yang ada dengan baik dan diletakkan di tempat yang betul, sebab itu mereka mampu kekal bertahan dan menang liga sampai tujuh kali berturut-turut.

“Saya percaya mereka akan jadi juara lagi tahun ini dan cipta sejarah unik, bukan saja sejarah mereka tetapi sejarah bola sepak Malaysia dan juga mungkin di dunia,” kata Sathianathan dipetik dari Arena Metro.

Baca Juga : Betul Ke Track-Record Sathianathan Tak Cukup Bagus?

Sebagai rekod, skuad harimau selatan diambil alih oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013 dan hanya setahun selepas itu mereka menjuarai saingan Liga Super buat pertama kali.

Dalam tempoh lapan tahun, selain tujuh kejuaraan Liga Super, mereka telah memenangi Piala FA sebanyak dua kali, menjulang Piala Malaysia sekali dan Piala Sumbangsih sebanyak enam kali.

Kejayaan paling manis sudah tentunya menjadi pasukan dari Malaysia pertama bergelar juara Piala AFC pada 2015, selain mencipta sejarah sebagai pasukan Liga Malaysia pertama untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia.

Ketika ini skuad bimbingan Benjamin Mora itu sedang mendahului Liga Super dengan kelebihan selesa lapan mata mengatasi pasukan tangga kedua Terengganu FC, dan 14 mata mengatasi pasukan tangga ketiga Penang FC.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.