Kalau bukan kerana SAF, Robin Van Persie akui mungkin tidak berpaling tadah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang Manchester United, Robin Van Persie mendedahkan Sir Alex Ferguson adalah punca utama dia meninggalkan Arsenal dan menyertai pasukan itu pada musim 2012/2013.

Perpindahan Robin Van Persie yang ketika itu kapten Arsenal ke kelab musuh ketat mereka itu mencetus sensasi dan boleh dikatakan menjadi kejutan terbesar dalam Liga Perdana Inggeris musim tersebut, sehinggakan dia dilabel pengkhianat oleh penyokong the gunners.

Penyerang Belanda itu bagaimanapun membuktikan dia membuat keputusan tepat untuk kariernya, dan mencipta impak maksima apabila meledak 26 gol dalam musim pertamanya di Old Trafford, sekaligus membantu Manchester United menjulang gelaran liga buat kali ke-20.

Apa yang membuat Robin Van Persie terkelu dan terduduk selepas itu, adalah pengumuman persaraan Sir Alex Ferguson sebagai pengurus pasukan Red Devils selepas 26 tahun bersama mereka.

“Saya ada bertanya kepadanya (Alex Ferguson) berapa lama dia berhasrat untuk kekal dan katanya lagi tiga tahun, dan itu yang berada dalam fikiran saya ketika memutuskan meninggalkan Arsenal. Adakah saya akan menukar keputusan jika saya tahu dia akan bersara pada hujung musim tersebut? Ia soalan yang sukar untuk saya jawab, mungkin ya.

“Alex Ferguson adalah sebab utama saya sertai Manchester United, itu sesuatu yang pasti. Dia seorang pengurus lagenda dan dia meyakinkan saya Old Trafford adalah tempat yang betul untuk saya. Anda boleh lihat dari saat saya melangkah masuk ke kelab ini semuanya cukup sempurna di bawahnya.

“Hubungan antara pemain dan jurulatih cukup bagus, saya lihat semuanya serba sempurna untuk saya dan itu sebab saya dapat serlahkan lagi sentuhan tajam dan mempertahankan kasut emas dengan menjaringkan 26 gol seterusnya memastikan kejuaraan liga untuk kesekian kalinya.

“Tetapi berita Alex Ferguson bersara mengejutkan saya, tetapi saya cuba untuk tidak patah hati dengannya. Ada sesuatu yang berkaitan kehidupan peribadinya membuatkannya menukar keputusan dan ia sesuatu yang lebih besar daripada bolasepak.

“Saya tidak boleh kata Alex telah menipu atau memberi pandangan mengenai keputusan dibuatnya itu kerana saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi, tetapi cukup mengatakan bahawa keluarga perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua situasi.

“Alex Ferguson membina legasi dan meninggalkan satu sejarah, kerana dia saya dapat merasai menjulang EPL, ia mustahil untuk diulangi mana-mana pengurus dan saya gembira pernah bermain di bawah bimbingannya,” ujar Robin Van Persie.

Dia kemudiannya bermain dua musim lagi bersama United di bawah bimbingan David Moyes dan Louis Van Gaal, sebelum berhijrah ke Fenerbahce pada 2015.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.