“Kalau Bukan Kerana Terengganu FC, Saya Takkan Sampai Tahap Ini” – Faisal Halim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nama Faisal Halim antara yang menjadi sebutan penyokong bolasepak tanah air selepas dia mencuri tumpuan bersama skuad Harimau Malaya pada minggu lalu.

Walaupun skuad kebangsaan tewas besar kepada Jordan dan Uzbekistan, kelincahan Faisal Halim yang diberi peluang bermain kesebelasan utama dalam kedua-dua perlawanan itu antara perkara positif yang menggembirakan Tan Cheng Hoe.

Enggan dibuai pujian, pemain sayap itu menganggap perpindahannya ke Terengganu FC musim ini adalah faktor utama yang membantu untuk melonjakkan prestasinya ke tahap lebih baik.

“Saya mampu beraksi bersama skuad negara dengan mengekalkan prestasi seperti dalam Liga Super adalah kerana pasukan Terengganu dan jurulatih, Nafuzi Zain.

Baca : Pemain Tabik Cara Nafuzi Zain, Lain Dari Yang Lain

“Konsep Terengganu ialah aksi berkeamatan tinggi yang melibatkan hantaran satu dua. Jurulatih pesan jika ada ruang maka saya boleh gelecek pemain lawan, di kawasan tiga perempat lawan pula kami diberi kebebasan, bermain mudah.

“Begitu juga dalam skuad kebangsaan, cuma saya perlu perbaiki lagi tahap permainan sekiranya saya disenaraikan dalam Piala AFF.

“Saya tidak rasa pujian ini adalah satu perkara yang hebat yang perlu dibangga-banggakan. Adalah lumrah apabila pemain beraksi dengan baik, kami akan mendapat pujian tapi kalau mengalami keadaan sukar pula akan menerima kritikan.

“Saya berterima kasih atas pujian dan berharap ia akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk membaiki kelemahan,” kata Faisal Halim dalam Nadi Arena.

Faisal Halim yang berusia 23 tahun memulakan karier bersama pasukan negeri kelahirannya Penang FC, sebelum berhijrah ke Sri Pahang dan bermain dengan pasukan gergasi pantai timur itu selama lima musim.

Sementara itu, mengenai khabar ada beberapa kelab Eropah menunjukkan minat terhadap kelibatnya sepertimana didedahkan ejennya dari Estrada Sports Agency, ini reaksi pemain bertubuh kecil yang mesra disapa Mickey ini.

Berita Berkaitan : Faisal Halim Dalam Radar Kelab Eropah

“Semua orang memberi kata-kata positif kepada saya, mereka menggalakkan saya supaya ke sana. Sejujurnya memang ejen dari Sepanyol itu ada menghubungi saya tapi saya belum tahu lagi perinciannya, kalau ada rezeki saya memang mahu ke sana.

“Selepas habis liga, baru saya fikirkan tawaran ini. Kalau betul ada rezeki, ada peluang bermain di luar negara, saya tidak akan tolak,” katanya yang menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super.

Manakala ejennya Alif Azilan berkata, “Saya beritahunya agar menghormati kontraknya sementara tawaran daripada pasukan lain saya perlu tengok dulu.

“Saya sebagai ejennya akan berjumpa dengan pengurusan Terengganu. Tetapi pemain perlu hormati kontrak sedia ada dan berikan komitmen dalam baki Piala Malaysia. Ejen Sepanyol itu memang ada bertanyakan perincian klausa pelepasan dan gaji pemain.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.