“Kalau kalah atau dibelasah Vietnam, tak tahu nak letak muka kat mana”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengendali skuad Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah meletakkan harapan tinggi skuad negara akan tampil dengan kualiti permainan lebih baik menentang Vietnam agar mimpi ngeri kecundang 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun lalu tidak berulang.

Pengendali berpengalaman luas itu berpendapat hanya kemenangan ke atas Vietnam dapat menebus kehampaan penyokong yang sebelum ini meletak harapan tinggi terhadap skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Sebelum kita ke UAE untuk hadapi kejohanan tersebut, kita umpama mendapat kekuatan luar biasa dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi dan pemain kacukan.

“Bagi saya sendiri apabila melihat pasukan ini, saya bersemangat kerana kita seperti ada kelebihan dengan pemain yang dikatakan bagus.

“Namun, apabila perlawanan menentang UAE, bukan saya seorang sahaja tetapi semua orang kecewa dengan prestasi pemain yang dijelmakan di atas padang. Ditambah pula dengan sikap dan permainan pemain naturalisasi yang sangat teruk.

“Saya sendiri rasa malu sebab pasukan kita gah dibarisi ramai pemain naturalisasi dan kacukan, tetapi hasilnya sangat kurang memuaskan. Jadi, Harimau Malaya kena buat sesuatu demi maruah bola sepak kita. Kalau kecundang atau dibelasah Vietnam, kita tak tahu nak letak muka kat mana dah,” ujar Azraai Khor sepertimana dilaporkan Sukan Sinar.

Azraai Khor bagaimanapun mengakui ia bukan tugas mudah apatah lagi Vietnam kini merupakan pasukan terbaik Asia Tenggara dan berada dalam kedudukan 100 terbaik ranking FIFA.

Skuad Park Hang Seo juga sedang memuncak prestasi mereka, sedang memimpin Kumpulan G dengan 14 mata selepas melakar empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Sejak dibimbing Hang Seo juga, Vietnam tidak pernah tewas kepada lawan dari Asia Tenggara malah Harimau Malaya sendiri kali terakhir menewaskan mereka adalah pada 2014.

“Kita kena akui Vietnam sekarang bukan Vietnam yang dulu. Kalau masa saya main mewakili negara, kejohanan Pestabola Merdeka pun kita tak jemput mereka. Namun, mereka telah meningkat dengan mendadak dengan kelab dalam liga mereka sangat bagus selain terbukti kemampuan mereka di pentas Asia.

“Bukan jalan mudah untuk meraih keputusan yang baik ketika menentang pasukan itu. Coach Tan (Cheng Hoe) kena ada ramuan berbeza selepas kita tewas kepada UAE baru-baru ini dan beliau kena cipta kesebelasan utama terbaik untuk tundukkan Vietnam.

“Malah, semua pemain kena ingat kita hanya ada dua perlawanan lagi dan ini peluang terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya. Dengan penuh harapan, sebagai penyokong pasukan negara saya harap Harimau Malaya dapat tampilkan permainan yang lebih baik,” kata Azraai Khor.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.