“Kalau KPG Senaraikan Juga Pemain Naturalisasi, Ia Bukti Mereka Dipilih Bukan Kerana Prestasi”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Siapakah enam pemain yang bakal disingkirkan Kim Pan-gon tatkala dia dalam proses memuktamadkan senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun ini?

Jika ditanya kepada penyokong mahupun pemerhati bolasepak, tiga nama yang wajib disingkirkan adalah tiga pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi berikutan prestasi merosot teruk dan langsung tidak menyerlah ketika diberi peluang dalam aksi persahabatan.

Pendapat sama dikongsi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, yang menegaskan ketiga-tiga pemain naturalisasi itu telah diberi peluang lebih daripada cukup dan gagal untuk menggunakannya sebaik mungkin untuk memikat hati penyokong.

Beliau berpendapat jika salah seorang daripada mereka tersenarai sekalipun, ia akan menimbulkan persoalan besar apakah kriteria yang dinilai untuk menjadi pemain kebangsaan dalam masa sama membuktikan bahawa mereka bukannya dipilih kerana prestasi, dan mungkin ada faktor lain.

“Apa lagi yang nak dibuktikan kerana tiga pemain ini sudah diberikan peluang untuk mempamerkan aksi masing-masing pada perlawanan persahabatan namun hasilnya boleh dikatakan seperti ‘menghabiskan beras saja’.

“Saya tak tahulah apa kepentingan jika mereka disenaraikan atau mungkin ada ‘harga’ yang perlu dibayar pihak tertentu namun demi pasukan bola sepak negara jangan pakai pemain naturalisasi.

“Sekarang ini terbukti pemain tempatan lebih baik daripada mereka. Adakah kriteria dipilih bersandarkan status mereka semata-mata atau prestasi… Jika prestasi kita kena berikan tempat pada pemain yang layak,” ujar Jamal Nasir kepada Arena Metro.

Sebelum ini Kim Pan-gon memberitahu bahawa beliau menyenaraikan pemain yang tiada minit permainan di peringkat kelab dan sentiasa menjadi sasaran kritikan seperti Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula dalam kem latihan kali ini, bagi melihat dan menilai sendiri prestasi mereka.

Daripada apa yang dipersembahkan ketika dua aksi menentang Brunei dan Hong Kong, jelas sama sekali tiada apa yang boleh disumbangkan mereka dan cuma layak menjadi penumpang di dalam pasukan.

Namun berbeza pula pandangan Kim Pan-gon yang berpendapat pemain-pemain ini telah menunjukkan satu prestasi hebat dan cemerlang, sehingga menyukarkannya untuk membuat keputusan siapa yang mahu digugurkan.

Foto ehsan : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.