Kalau Main Bola Cukup Bulan Nak Ambik Gaji, Perak Bukan Tempatnya – Yusri Che Lah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perak terlepas slot ke Piala Malaysia musim ini, selepas diaibkan oleh skuad Projek FAM-MSN pada Ahad.

Kekalahan 1-3 menyaksikan skuad bimbingan Yusri Che Lah gagal untuk menempatkan diri di kelompok lima pasukan terbaik dari Liga Premier untuk beraksi di pertandingan berprestij itu.

Lebih memilukan, Perak yang merupakan antara pasukan paling berjaya dalam sejarah pertandingan, tidak layak ke Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah.

Yusri Che Lah ketika ditemui pemberita selepas perlawanan ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan berpendapat pemain yang diturunkan beraksi tidak menepati standard di sebalik mempunyai reputasi yang baik.

“Ini bukan keputusan yang saya mahupun penyokong mahukan. Saya bukan mahu mencari alasan, tapi kita turun tanpa tujuh pemain utama disebabkan kecederaan dan penggantungan. Kita hilang banyak pemain yang boleh memberi impak di dalam perlawanan, kita melalui satu situasi yang sukar.

“Apapun, ini satu pengajaran buat pemain dan pasukan saya, ingin saya tegaskan bermain home bukan satu kelebihan kalau gagal manfaatkan apa (peluang) yang ada.

“Kita seharusnya malu dengan kekalahan ini, kekalahan kepada Skuad Projek. Pasukan itu tahun kedua dalam Liga Premier, lebih matang tapi kita pun bukannya turunkan pasukan kedua, kita ada Indra Putra, ada Syamim Yahya ada Hafiz Ramdan di situ.

“Jadi apa yang lebih penting adalah tahap pemain, tahap keyakinan pemain itu untuk beraksi, itu yang mustahak. Kalau bermain tidak yakin macam mana mahu tarik penyokong ke stadium, dan akhir sekali orang tuding jari pada jurulatih.

“Sekarang kita sudah tiada apa untuk dikejar, Piala Malaysia pun sudah terlepas, amaran saya, untuk terus bermain dengan Perak semua pemain kena korban. Kita ada majikan salah satu yang terbaik, jangan ambil kesempatan di atas kebaikan mereka.

“Ini amaran keras dari saya, saya tak kisah kamu siapa, saya perlukan pemain yang nak main untuk Perak, siapa tiada hati, yang main untuk terima gaji bila cukup bulan, Perak bukan tempatnya. Bagi saya maruah Perak adalah lebih besar berbanding maruah sendiri,” tegas Yusri Che Lah.

Dengan hanya berbaki dua perlawanan, Perak berada di tangga kedua tercorot dengan tujuh mata dari 16 perlawanan.

Foto ehsan : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.