Kemelut tunggakan gaji yang tidak berkesudahan di kem Perak FC, membuatkan ramai pemerhati serta penyokong bolasepak tanah air naik angin dan menyerang Malaysian Football League (MFL) kerana boleh membenarkan pasukan itu bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.
Sudahlah masalah tunggakan gaji yang lama pun belum selesai yang mengakibatkan mereka dikenakan sekatan pendaftaran pemain baru, terbaru, pemain-pemain Perak FC dilaporkan tidak menerima gaji selama dua bulan malah mereka juga nampak serba tempang untuk memulakan musim baru berikutan kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan.
Perak FC juga sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak menghantar pasukan bertanding di Piala Presiden dan Piala Belia, yang mana sekaligus tidak menepati syarat untuk sesebuah pasukan mengambil bahagian dalam saingan Liga Malaysia.
Di sebalik begitu banyak kemelut, lesen mereka tetap tidak ditarik balik sedangkan MFL sentiasa melaungkan mereka tidak akan berkompromi menyebabkan ramai yang tidak faham mengapa pasukan ini diberikan terlalu banyak kelonggaran.
Bagi pemerhati dan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, untuk mengatakan MFL tidak tegas dalam pendirian mereka adalah tafsiran tidak tepat dan mahu penyokong memahami asas tindakan tersebut.
“Kebenaran yang diberikan oleh MFL kepada Perak FC untuk dibenarkan beraksi bukanlah kerana mereka tidak tegas tetapi ia lebih kepada langkah membantu menyelamatkan masa depan pemain-pemain dan juga pembangunan bola sepak secara keseluruhan di negeri Perak khususnya.
“Kalau nak bunuh bola sepak di Perak senang saja, sekat saja penyertaan Perak FC, maka terbubarlah juga pasukan Piala Belia dan Piala Presiden yang ada. Maka ramailah pemain-pemain muda di Perak yang akan hilang platform untuk memperagakan kebolehan serta terbantut untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya ini,” katanya dipetik dari portal Majoriti.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah, memberi jaminan isu tunggakan gaji dua bulan yang membelenggu pemain skuad itu selewat-lewatnya pada Isnin depan.
“Pengurusan Perak FC akan membuat pembayaran itu selewat-lewatnya pada 7 Mac ini seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing.
“Walaupun kelab pernah menjamin pembayaran gaji kepada bekas pemain import sebelum akhir bulan April iaitu sebulan sebelum jendela perpindahan kedua, namun jaminan sedemikian tidak diberikan kepada pemain tempatan sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, penyelesaian yang dijanjikan meliputi dua bentuk iaitu sama ada cadangan kelab untuk menyelesaikan semua tunggakan sekali gus kepada pemain sedia ada, atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama iaitu bulan Januari terlebih dahulu.