‘Kalau nak gantikan saya, terpulang kepada pengurusan, saya tak kisah’

Sathianathan
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Selangor B.Sathianathan tidak mahu memikirkan mengenai spekulasi yang bertiup kencang mengenai masa depannya bersama pasukan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan untuk membuat keputusan.

“Saya tidak kisah mengenai masa depan, mereka boleh putuskan apa yang mereka mahu. Tetapi sebagai seorang professional saya akan teruskan kerja saya selagi diperlukan. Saya berikan 100 peratus, pemain berikan 100 peratus, saya tidak nampak mana-mana pemain boikot saya.

“Mereka berikan yang terbaik, jadi selagi pemain-pemain bersama saya, saya tidak kisah. Bawalah sesiapa pun datang, saya tidak kisah.

“Saya bekerja, saya tidak pernah mengambil walau seharipun cuti, saya lakukannya demi pasukan, saya berikan 100 peratus, pemain pun tahu jadi terpulang, saya tidak kisah mengenai masa depan, mereka boleh lakukan apa sahaja,” ujar Sathianathan.

Sathianathan mula membimbing Selangor pada 2019 dan pada musim pertamanya itu berjaya membawa skuad Red Giants menduduki tempat ketiga Liga Super serta mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Musim ini Sathianathan disasarkan untuk membawa pasukan itu layak beraksi di pentas Asia dengan menduduki dua tempat teratas liga.

Namun baru-baru ini Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon memberitahu kedudukan bekas jurulatih kebangsaan itu tetap tidak selamat walaupun berjaya mencapai KPi dan ia akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa.

Malah beberapa media tempatan melaporkan FAS sudahpun mula merisik beberapa calon sebagai pengganti Sathianathan.

Ketika ini, peluang untuk Sathianathan mencapai KPi dilihat cukup mencabar memandangkan selepas lima perlawanan, Selangor hanya mengumpul enam mata hasil satu kemenangan dan tiga keputusan seri.

Ini menyaksikan mereka menduduki tangga kelapan dan ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga kedua Terengganu FC, dengan hanya berbaki enam perlawanan sahaja lagi untuk diharungi.

Foto kredit: NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.