“Kalau Penyerang Lebih Tajam, Lain Ceritanya” – Bojan Hodak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih pasukan KL City, Bojan Hodak tidak berselindung menyatakan rasa kecewa selepas pasukannya gagal meraih kemenangan pada aksi pertama Piala AFC berdepan PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Pengendali dari Croatia itu bagaimanapun gembira dengan prestasi ditunjukkan pemain di barisan pertahanan skuad City Boys yang berjaya bertahan daripada dibolosi lawan pada perlawanan itu.

Katanya, keputusan seri tanpa jaringan itu adil buat kedua-dua pasukan yang menyaksikan peluang buat semua pasukan dalam Kumpulan H kini terbuka luas.

“Secara keseluruhan kami memiliki peluang untuk meraih kemenangan. Saya fikir kami sangat hampir dengan tiga mata, tapi anda juga perlu hormati mereka kerana mereka juga mempunyai beberapa peluang.

“Saya sentiasa akan kecewa apabila kami tidak menang, tapi kadang-kadang anda perlu lihat kepada realiti yang mana saya fikir kami beraksi dengan baik.

“Saya gembira dengan pertahanan hari ini yang mana mereka tidak melepaskan jaringan. Akhirnya kami bermain bagaimana cara kami beraksi ketika perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Tetapi bahagian serangan, inilah masalah kami dan ia salah satu sebab mengapa kami menandatangani penyerang baharu (Jordan Mintah),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

KL City beroleh beberapa peluang keemasan menjaringkan gol termasuklah menerusi percubaan Romel Morales di minit ke-58 yang terkena tiang gol, disusuli tandukan Irfan Zakaria sembilan minit kemudian yang sekadar singgah di palang gol lawan ketika penjaga gol PSM Makassar sudah pun tertewas.

Menurut Hodak lagi, beliau optimis anak buahnya tetap mampu melangkah ke pusingan berikutnya dengan menjadikan wakil Singapura, Tampines Rovers mangsa kebangkitan.

“Walaupun ia bukan satu tugas mudah menentang Tampines, namun saya percaya pasukan akan bangkit untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan itu,” katanya.

Sementara itu, penyerang KL City, Zhafri Yahya pula berkata, “Saya merasakan kita betul-betul tidak bernasib baik meskipun bahagian serangan dan pertahanan berjaya mempamerkan aksi yang terbaik.

“Kita tidak akan mengalah, kita akan pastikan kemenangan milik pasukan pada perlawanan kedua menentang Tampines Rovers. Bagi diri saya pula, saya belum berpuas hati dengan prestasi semasa saya dan perlu lebih konsisten. Saya akan perbaiki apa yang saya perlu perbaiki, saya sentiasa ingin perbetulkan sebarang kekurangan.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.