‘Kalau saya ahli silap mata, mungkin saya tahu pemain mana akan beraksi baik’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Selangor B.Sathianathan menjelaskan tindakan mengugurkan penyerang import Rufino Segovia dari kesebelasan utama dan hanya memasukkannya pada separuh masa kedua ketika perlawanan menentang Johor Darul Takzim pada Sabtu adalah kerana dia tidak beraksi baik sebelum ini.

Selangor mengalami kekalahan besar 1-6 kepada pendahulu Liga Super itu dengan gol tunggal mereka dijaringkan Rufino Segovia pada minit ke-81.

“Saya taknak ambil risiko (turunkan Rufino dalam kesebelasan utama) sebab ada orang cakap dengan saya dia belum sedia untuk main, tak bermain dengan baik, tetapi hari ini dia bermain dengan baik.

“Kalau saya magician (ahli silap mata), saya tahu pemain mana akan beraksi dengan baik hari ini, mungkin saya boleh pilih. Tapi saya bukan magician, saya pilih dari latihan dan pengalaman, macam game tadi, kita takde pergerakan di atas jadi saya gamble dan bawa masuk Rufino,” kata Sathianathan.

Kekalahan 1-6 di tangan JDT menyamai rekod kekalahan terburuk Selangor dalam Liga Super, mereka pernah tewas dengan jaringan sama kepada Perlis pada 2006.

Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim Larkin itu menyaksikan JDT membuka jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-45 dan menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-49, disusuli jaringan Diogo Santo, Gonzalo Cabrera dan dua jaringan Ramadhan Saifullah.

Sathianathan memberitahu penalti awal di separuh masa kedua menjadi titik tolak yang membunuh dan menjejaskan mental para pemainnya dengan teruk, namun tidak menyalahkan mereka atas kekalahan ini.

Sebaliknya beliau mengakui ia adalah kesilapannya sendiri kerana tidak fokus kepada pemulihan mental pemain ketika rehat separuh masa pertama.

Baca : Sathianathan salahkan diri sendiri, ambil tanggungjawab kekalahan besar di tangan JDT

Selangor kini mempunyai baki tiga lagi perlawanan untuk memastikan sasaran menduduki kelompok dua teratas Liga Super seterusnya menyambar tiket beraksi di Piala AFC tercapai.

“Kita ada tiga lagi perlawanan, kita akan cuba yang terbaik. Kalau kita boleh dapat sembilan mata maksimum ia tidak mustahil, selepas itu kita juga ada saingan Piala Malaysia (juara layak ke Piala AFC) jadi peluang masih ada,” ujar Sathianathan lagi.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.