‘Kalau saya buka mulut, banyak lagi benda buruk akan keluar’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh akur sekiranya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mahu mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa sebagai menyekat dia bermain dengan kelab barunya, Police Tero FC.

Malah dia bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang setelah PBNP menerusi Presiden, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyatakan mahu membawa kontroversi membabitkan dirinya itu ke pengetahuan AFC dan FIFA.

Tengku Abdul Rahman menyatakan beliau betul-betul kecewa dengan apa yang dilakukan Sumareh dan menyifatkan pemain itu sebagai tidak professional dan tidak mengenang budi. Baca : Pendedahan Tengku Muda bukti gaji bukan sebab Sumareh lari

Menurut pemain sayap kelahiran Gambia itu, dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana bimbang sekiranya dia mula bersuara, lebih banyak perkara buruk membabitkan PBNP akan terdedah.

‘Ramai mengatakan masalah (tunggakan gaji) berlaku sejak Covid-19, namun apa yang mahu saya katakan adalah masalah tunggakan gaji sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu. Kenapa saya mahu terus bermain dengan pasukan yang melanggar perjanjian kontrak.

”Jika saya menipu, saya mahu seseorang daripada PBNP katakan begitu pada saya. Sekarang ini saya tidak boleh mendedahkan segalanya. Ada perkara boleh kita ceritakan, namun lebih baik saya berdiam diri walaupun mengetahui kini menjadi cemuhan penyokong.

”Apa yang ingin diberitahu, saya tidak pernah melupakan pasukan yang membantu menaikkan diri ini, namun terjadinya situasi ini bukanlah kehendak saya,” katanya dipetik dari Arena Metro.

Ditanya kenapa dia tidak terlebih dahulu bertemu dengan pengurusan atau bersemuka dengan Tengku Abdul Rahman sebelum mengambil keputusan meninggalkan pasukan, ini jawapan pemain berusia 25 tahun itu.

”Saya hantar surat menerusi emel, hantar juga ke pejabat PBNP malah turut menggunakan khidmat pos bagi memastikan dokumen berkaitan sampai ke individu yang sepatutnya tetapi tidak mendapat jawapan.

”Ada yang kata kenapa tidak berbincang dengan Tengku Abdul Rahman, namun saya tidak mahu melangkau pengurus (Datuk Suffian Awang) dan juga beberapa pihak lain kerana lebih baik berbincang dulu dengan mereka namun lain pula yang terjadi,” katanya.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.