Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berminat untuk menyahut cabaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membuktikan mengenai beberapa dakwaannya sebelum ini.
Sanusi sebelum ini mencetus kontroversi apabila mendakwa bolasepak Malaysia tidak akan ke mana selagi kesemua pasukan tidak mendapat layanan sama rata, selain ada individu yang disembah sebagai tokong yang menyebabkan hanya satu pasukan mendapat layanan istimewa.
Tidak cukup dengan itu, beliau mendakwa pula bahawa terdapat individu yang sentiasa memantau latihan dan persiapan pasukan lain, serta membayar bonus kepada mereka sekiranya menewaskan Kedah.
Sanusi berkata itu hanyalah beberapa cerita yang penyokong tidak tahu, dan terdapat lebih banyak cerita yang sebolehnya tidak mahu didedahkannya.
Walaupun tidak menyebut pasukan mana, atau siapa individu yang dimaksudkan, semua tahu ia merujuk kepada Johor Darul Takzim (JDT) manakala individu tersebut pula adalah merujuk kepada Tunku Ismail.
Ini menyebabkan Tunku Ismail pada Isnin mencabar Sanusi supaya mendedahkan siapa yang dimaksudkan dalam dakwaannya dan bukan hanya membuat cerita sensasi, selain meminta supaya semua dakwaan itu dibuktikan.
Menurut Tunku Ismail, menyebarkan cerita yang bukan-bukan apabila populariti semakin tenggelam adalah perangai lazim ahli politik di Malaysia namun ini reaksi balas Sanusi.
“Soalan itu (cabaran TMJ dedahkan nama individu yang digelar ‘tokong’) tak usah tanya, provokasi..’no comment’. Nanti depa kata saya lawan raja pula, baru ini tak ada hujah depa update (tulis) kata lawan raja, derhaka…ini bola sepak derhaka apa, jadi (cukup) la,” ujarnya yang juga merupakan Menteri Besar Kedah.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah di Alor Star pada Isnin.