“Kalau saya jatuh lagi, saya yakin boleh naik balik,” kata Lee Zii Jia

Malaysia's Lee Zii Jia celebrates after winning Denmark's Victor Axelsen during the men's final match of the All England Open Badminton Championships at the Utilita Arena in Birmingham, England, Sunday March 21, 2021. (AP Photo/Rui Vieira)
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Keyakinan diri dan kekuatan mental pemain perseorangan kebangsaan, Lee Zii Jia tampak semakin meningkat susulan kejayaan mengejutkan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen untuk menjuarai Kejuaraan All England bulan lalu.

Pada hakikatnya itu adalah kejuaraan besar pertama dalam perjalanan karier pemain kelahiran Alor Star itu yang dikritik hebat selepas penampilan hambar di tiga kejohanan di Bangkok sebelum ini iaitu tewas di suku akhir Yonex Terbuka Thailand, disusuli kandas di pusingan awal Toyota Terbuka Thailand dan juga BWF World Tour Finals.

“Memang benar, selepas Thailand banyak pihak mengkritik saya, media ada, orang luar semua ada tetapi saya tidak peduli apa orang kata kerana jurulatih saya tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya percaya selepas ini kalau saya jatuh lagi, saya yakin akan naik semula,” kata Lee Zii Jia.

Dia yang baru berusia 23 tahun juga meletakkan sasaran mengikut jejak langkah bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi pemain nombor satu dunia, dan percaya boleh melakukannya.

“Salah satu kelemahan saya yang ketara ialah untuk stabilkan permainan sebab memang ada turun naik yang sangat ketara dan perkara ini sering dibincangkan bersama jurulatih.

“Saya rasa perlukan satu atau dua tahun untuk selesaikan masalah ini dan jadikan permainan lebih stabil. Memang saya harap boleh jadi pemain No.1 dunia selepas itu,” tambahnya.

Dia kini diletakkan sebagai salah seorang prospek emas Sukan Olimpik Tokyo oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican.

Pada bulan lalu, Lee Zii Jia muncul juara All England selepas menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final mendebarkan di Birmingham Arena sekaligus memahat nama dalam sejarah sebagai salah seorang pemain termuda bergelar juara.

Dia mendedahkan beberapa perkara, termasuk pengorbanannya berlatih sendirian ketika pemain lain pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina.

“Saya terus menetap di asrama untuk berlatih sendiri. Kalau dalam skuad perseorangan lelaki, saya rasa saya seorang saja berlatih. Buat apa hendak sambut Tahun Baru Cina kalau tengah tertekan.

“Saya akan ‘kunci’ diri sendiri dan ia kelihatan seperti saya akan menjadi seorang yang antisosial. Sebenarnya saya mahu bersendirian dan mahu menenangkan diri.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.