“Kalau saya jurulatih Harimau Malaya, saya pun buat benda sama”

Sathianathan
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih Harimau Malaya, B.Sathianathan mempertahankan pemilihan pemain bagi membawa cabaran di baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, meskipun penyenaraian beberapa nama oleh Tan Cheng Hoe menimbulkan pertikaian.

Antara nama-nama yang hebat dikecam adalah Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan Irfan Zakaria manakala beberapa pemain yang berada dalam prestasi terbaik seperti Rodney Celvin, Arif Fadzillah dan Hakimi Abdullah diketepikan.

Menurut Sathianathan yang kini merupakan Pengarah Teknikal Sarawak United, adalah perkara biasa mana-mana jurulatih memilih dan meletakkan kepercayaan kepada pemain yang sudah sedia serasi dengan cara latihannya.

“Kalau saya jurulatih Harimau Malaya pun, saya akan buat perkara sama.

“Kalau muka baharu dipanggil tetapi mereka tidak dapat memberikan apa yang dimahukan Cheng Hoe, ini akan memberikan kesukaran kepadanya, tambahan lagi dengan waktu persiapan yang singkat.

“Aksi antarabangsa dan aksi liga adalah satu pertandingan yang berbeza. Cheng Hoe mungkin memerlukan pemain yang dia boleh percaya untuk beraksi di bawah kendaliannya.

“Cheng Hoe yang membawa pasukan, jadi sudah tentu dia lebih kenal dengan pemain dan apa yang dimahukan daripada pemain. Pemain ini pasti faham kehendak Cheng Hoe dan sudah biasa dengan aksi antarabangsa.

“Perkara ini pun pernah berlaku pada zaman 70-an dan 80-an di mana pemain simpanan bersama pasukan masing-masing pun ada yang dipanggil menjadi pemain kebangsaan,” kata Sathianathan yang pernah membimbing pasukan negara beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2010.

Tan Cheng Hoe sebelum ini memberitahu dia tiada masa yang cukup untuk menguji lebih ramai pemain baru apatah lagi aksi pusingan kelayakan bukan medan untuk bereksperimen dan memberi pendedahan.

Namun dia menegaskan pemain-pemain yang tidak dipanggil kali ini akan mendapat peluang di masa akan datang.

Sebagai rekod, daripada 25 pemain yang disenaraikan, 13 adalah pemain Johor Darul Takzim termasuklah penjaga gol Farizal Marlias, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh, penyerang sensasi Safawi Rasid serta muka baru Arif Aiman Hanapi.

Turut disenaraikan adalah empat pemain beraksi di luar Liga Malaysia iaitu Junior Eldstal dan Dominic Tan (Liga Thailand), Liridon Krasniqi (Australia) dan Luqman Hakim Shamsudin (Belgium).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.