“Kalau Saya, Sukan Komanwel Diberi Keutamaan Demi Negara,” Ujar Chong Wei

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkata jika diberi pilihan, beliau akan memberi keutamaan untuk bermain di Sukan Komanwel berbanding Kejohanan Dunia.

Kenyataan Chong Wei itu sebagai reaksi kepada keputusan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

Sumber asal : BH Sukan

Tanpa mahu mempertikaikan keputusan dibuat Zii Jia, Chong Wei menegaskan secara peribadi dia akan memberi keutamaan kepada empat temasya sukan iaitu Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA sebelum memikirkan mengenai kejohanan lain termasuk Kejohanan Dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata temasya sukan adalah sesuatu yang sangat penting untuk negara dan menganggap ia sebagai salah satu cara untuk dia ‘membayar balik’ pelaburan yang dibuat kerajaan untuk menjadikan dia jaguh dunia.

“Saya tidak boleh komen bagi pihak Zii Jia kerana saya tahu ia buat keputusan yang bukan mudah. Namun, secara peribadi apa yang saya boleh katakan, Sukan Komanwel adalah sangat penting untuk negara.

“Ketika saya sebagai pemain, memang saya tekankan yang Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA akan menjadi keutamaan saya. Kejohanan Dunia berlangsung setiap tahun manakala Sukan Komanwel hanya empat tahun sekali…jadi, kita kena lihat di mana keutamaan kita.

“Dulu masa di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), keutamaan kami adalah untuk beraksi di temasya sukan selepas itu baru kejohanan lain seperti Siri Super dan Kejohanan Dunia.

“Kalau kita menang Kejohanan Dunia, ia adalah individu tetapi jika kita menang satu pingat emas di Sukan Komanwel ia akan memberikan impak yang besar kepada kontinjen negara untuk pungutan pingat keseluruhan.

“Apa pun, saya menghormati keputusan Zii Jia kerana dia lebih tahu mengenai keadaan tubuh badannya, namun nasihat saya selepas ini dia lebih bijak menilai apa yang sepatutnya menjadi keutamaan,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Terdahulu pada Khamis, Zii Jia yang juga pemain nombor lima dunia, mengumumkan menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel yang berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos bagi membolehkan dia memberi fokus yang lebih terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22 hingga 28 Ogos.

Juara Asia itu, berkata keputusan berkenaan dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badannya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia tidak cukup rehat.

Bagaimanapun, dia akan cuba sedaya upaya untuk memastikan dia berada keadaan terbaik bagi beraksi di Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini dan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai.

Zii Jia baru sahaja pulang dari Jakarta, Isnin lalu selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut – Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.