“Kalau susah sangat dapat peluang bermain, pindah jer” – Partiban

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kalau susah sangat dapat peluang bermain, pindah jer,” demikian nasihat pemain sayap KL City FC, J.Partiban kepada pemain-pemain muda yang mahu mengembangkan karier ke tahap lebih baik.

Partiban memberitahu ia adalah berdasarkan kepada pengalamannya sendiri di mana enam tahun lalu dia mengambil keputusan berani berhijrah dari Perak FC ke Sarawak FC pada musim 2015 lantas menjadi batu loncatan untuk mencipta nama dalam Liga Malaysia.

“Saya ambil keputusan keluar dari Perak FC pada masa itu sebab mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan dan tahun pertama saya ke Sarawak, pada mulanya memang sukar hendak dapat terus dapat kesebelasan utama.

“Namun, saya berpuas hati dapat meraih banyak pengalaman di sana dan pada tahun 2017, saya ke Terengganu, di sanalah saya dapat peluang bermainan yang cukup banyak di bawah kendalian Irfan Bakti.

“Malah, saya mampu berikan prestasi yang cukup baik semasa di Terengganu dan waktu ini rasa segala-galanya berubah dalam karier apabila semakin ramai kenal dengan saya.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain muda jika tidak dapat minit permainan semasa di awal pembabitan karier, jangan takut ambil keputusan untuk keluar mencari cabaran baru.

“Tunjukkan bakat anda dengan pasukan lain dan daripada situ akan hadir peluang yang lebih baik malah bekas pasukan sendiri akan berikan tawaran jika anda sudah mempunyai pengalaman bermain,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Selepas dua musim bersama Terengganu FC, Partiban kembali menyarung jersi Perak FC pada 2019 dan terus cemerlang apabila dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe.

Partiban adalah salah seorang pemain baru yang direkrut KL City di pintu perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan Mei lalu, selain Kenny Pallraj, Ryan Lambert dan penyerang import dari Nigeria, Kyrian Nwabueze.

Mengenai persiapan dengan KL City bagi mengharungi baki saingan Liga Super, pemain yang berasal dari Tambun, Perak ini mengakui segalanya berjalan sempurna dan sedia bersaing secara sihat dengan pemain lain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Tambahnya, dia sedar perlu bersaing dengan seorang lagi pemain berpengalaman, Hadin Azman di posisi sayap kiri namun menganggap itu sebagai satu persaingan biasa di dalam bola sepak profesional.

“Adanya Hadin membuatkan saya akan bersikap lebih positif di dalam latihan kerana agak bagus sebenarnya tiap pasukan mempunyai dua pemain yang berkualiti di tiap posisi.

“Selain Hadin, Romel Morales juga boleh bermain di posisi sayap dan dalam latihan, semua orang berikan yang terbaik maka biarkan jurulatih buat keputusan memilih siapa yang lebih berhak untuk bermain.

“Di bawah Bojan Hodak, banyak pengalaman baharu yang saya raih kerana taktikalnya juga berbeza dan jika saya boleh ikut segala program yang diterapkan, saya rasa boleh menjadi pemain yang lebih baik di sini,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.