Pemain-pemain Perak FC bagi ketiga-tiga skuad iaitu Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia sudah tiada pilihan selain mengosongkan rumah sewa yang diduduki ketika ini, berikutan kegagalan menjelaskan tunggakan bayaran sewa rumah.
Menurut laporan portal Majoriti, tunggakan tersebut merangkumi bayaran deposit, sewa selama dua bulan dan juga lain-lain bayaran berkenaan untuk tiga buah rumah yang berjumlah hampir RM14,000 sejak Januari lalu, sepertimana didedahkan oleh ejen rumah sewa bernama Nazri.
Malah Nazri juga memberitahu bahawa perkara ini tidak dapat diselesaikan sehingga ke waktu ini kerana kesukaran untuk berurusan dengan pihak pengurusan Perak FC.
“Memang dah banyak kali saya cuba berurusan dengan pihak Perak FC untuk menyelesaikan perkara ini tetapi agak susah untuk berurusan dengan mereka.
“Saya pernah call dan follow up dengan mereka untuk urusan tanda tangan perjanjian dan deposit… itu pun susah nak dapat, macam-macam alasan diberikan,” ujarnya kepada Majoriti sambil memaklumkan bahawa hanya sebuah rumah yang deposit serta perjanjiannya sudah dibayar dan ditandatangani oleh pengurusan kelab, iaitu rumah yang didiami pemain-pemain skuad utama Perak FC.
Tambahnya lagi, “Pemilik rumah memberi tempoh sehingga Ahad untuk Perak FC menyelesaikan bayaran berhubung rumah tersebut. Jika mereka tak bayar, saya minta jasa baik kepada mereka untuk kosongkan rumah tersebut.
“Saya lihat di media sosial pemain-pemain skuad Belia dan Presiden sudah mengosongkan rumah yang mereka duduk, cuma tinggal satu rumah saja lagi ketika ini.”
Nazri juga memberitahu bahawa beliau terpaksa menanggung kerugian kepada pemilik rumah jika Perak FC tidak melangsaikan bayaran tersebut justeru mengharapkan pihak pengurusan mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu ini dengan segera.
“Rumah yang didiami pemain-pemain utama Perak FC ada security deposit sampai 15 April ini, kalau sampai tarikh tu mereka tak bayar mereka kena keluarlah.
“Saya beri mereka duduk walaupun tanpa perjanjian disebabkan atas rasa kasihan dan saya juga merupakan seorang penyokong The Bos Gaurus, tapi saya tak sangka jadi macam ni pula,” katanya.