“Kalau tak kalah, kita takkan tahu kelemahan” – jurulatih Kelantan United

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekalahan besar 4-0 di tangan Terengganu FC dalam aksi persahabatan pada Ahad, tidak meresahkan pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor.

Ia adalah kekalahan kedua Kelantan United dalam aksi persahabatan selepas tewas 1-2 kepada Penang FC pada minggu lalu.

Bagi Nazrulerwan yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Kelantan United menggantikan Akira Higashiyama pada bulan ini berpendapat apa yang lebih penting adalah memperbaiki kelemahan dan mendapatkan gambaran sebenar kekuatan skuad sebelum aksi Liga Premier menentang PDRM FC pada 25 Julai ini.

Nazrulerwan juga percaya barisan pemain telah mendapatkan tahap kecergasan yang sepatutnya selepas lebih dua bulan Liga Malaysia berehat sambil mengharapkan kehadirannya ini diterima dengan baik oleh anak buah.

“Kalau boleh, memang la kita nak menang dalam aksi persahabatan, tetapi kalau kita tidak kalah, saya rasa kita tidak akan tahu dekat mana kelemahan sebenar pasukan.

“Pertama sekali, skuad Nafuzi Zain sememangnya lebih hebat dan mendominasi, dan pasukan saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan mendapatkan tahap kecergasan yang betul di atas padang.

“Tetapi, itu tidak bermakna mereka tidak bagus, dan saya percaya ia akan menjadi pengajaran terbaik untuk kita tengok balik apa yang kita boleh perbaiki sebelum kita menentang PDRM nanti,” jelasnya.

Sebelum ini, Nazrulerwan pernah membimbing Kelantan United pada pertengahan musim lalu dan membawa pasukan itu menamatkan saingan Liga Premier di tangga kelapan.

Mengenai Higashiyama, Nazrulerwan berkata pengendali dari Jepun itu yang kini bertindak sebagai Pengarah Teknikal pasukan telah melakukan tugas yang baik untuk memacu pasukan menduduki tangga keenam Liga Premier 2021 selepas 11 perlawanan.

Bekas pengendali pasukan KL Rovers ini tidak menolak peluang masih lagi terbuka untuk pasukannya cuba merebut tempat ke pentas Liga Super pada musim hadapan.

“Sekarang jurang mata pun tidak la terlalu jauh untuk kami cuba mengejar, dan ada tiga Reserve Team berada di atas kami.

“Jadi, tidak mustahil kami akan cuba untuk raih slot layak ke Liga Super sekiranya ada rezeki, tetapi kita sedar ianya bukan mudah.

“Kita perlu ambil serius baki perlawanan yang ada ini dan amat penting pemain-pemain terutamanya pemain baharu untuk cuba beri impak yang berbeza selepas ini,” tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.