Pengurusan Perak FC menafikan mereka lari dari membayar tunggakan gaji para pemain dan barisan kejurulatihan pasukan itu sepertimana dijanjikan, sebaliknya sedang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakariah kepada Sukan Sinar, pihak pengurusan masih dibebani masalah tunggakan gaji lapuk sejak dari September tahun lepas (sepertimana tersebar di media sosial baru-baru ini), yang mana ada yang sudah dibayar dan ada yang masih menanti bayaran.
Ini menyebabkan bajet mereka sedikit lari namun bukanlah bermakna mereka akan berdiam diri dan tidak mencari penyelesaian.
“Tunggakan gaji itu secara keseluruhannya adalah daripada pihak pengurusan sebelum ini. Ia melibatkan gaji (tertunggak) mulai September 2021. Sebahagian daripada mereka (jurulatih) sudah pun dibayar gaji bagi bulan Ogos 2021. Apa pun pihak pengurusan baharu akan melangsaikan tunggakan gaji berkenaan.
“Keutamaan kami buat masa ini adalah untuk membayar tunggakan dua bulan gaji (Januari dan Februari 2022). Diharapkan tunggakan gaji dua bulan itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Sebelum ini, Yunus dalam satu kenyataan media menjanjikan bahawa tunggakan bagi tahun ini akan diselesaikan selewat-lewatnya 7 Mac, sama ada bayaran penuh atau dibayar untuk satu bulan terlebih dahulu namun kegagalan berbuat demikian menyebabkan ada yang menggelar mereka sebagai ‘scammer’.
Perak FC sehingga kini belum lagi turun padang untuk beraksi bagi saingan musim baru Liga Malaysia, di mana perlawanan mereka ditunda kerana terdapat pemain positif Covid-19 di dalam kem mereka namun ada cakap-cakap dalam kalangan penyokong bahawa para pemain mungkin tawar hati dan enggan turun beraksi selagi tidak menerima gaji justeru Covid hanyalah alasan semata.
Kemelut tunggakan gaji yang dihadapi Perak FC ketika ini adalah yang terburuk dalam sejarah 100 tahun pasukan itu, yang mana ia turut menyebabkan mereka ketika ini tidak dapat mendaftarkan pemain-pemain baru kerana dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA, selain hanya dapat mendaftarkan 20 pemain untuk mengharungi sekurang-kurangnya lapan aksi pertama liga.