Tonggak Sarawak United, Nur Shamie Iszuan Amin percaya peluang untuk pasukannya mengejutkan Johor Darul Takzim (JDT) tetap ada walaupun mereka akan turun selaku underdog dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Seri Iskandar, pada Sabtu.
Shamie yang menjaringkan satu gol ketika Sarawak United membelasah Ultimate FC 7-0 di pusingan pertama berkata JDT pastinya akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi menyambar tiket ke suku akhir, namun menurutnya Sarawak United lebih bersedia dalam menghadapi tentangan harimau selatan terutamanya beberapa pemain import mereka.
Sambil menyifatkan penyerang import tuan rumah, Fernando Forestieri cukup berbahaya dan antara yang perlu dikawal ketat, Shamie berpendapat sekiranya pasukan mempamerkan disiplin terbaik atas padang, tidak mustahil kemenangan mampu menjadi milik mereka.
“Kami datang ke Johor berdepan JDT bukan untuk kalah, walaupun kita tahu mereka bukan mudah untuk ditewaskan lagi-lagi bermain di laman sendiri.
“Tetapi kami akan cuba buat yang terbaik dan apa-apa sahaja boleh and berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.
“Kami akan memberi lebih tumpuan kepada beberapa pemain mereka seperti Forestieri sebab kita tahu dia memang seorang pemain yang mempunyai larian pantas dan ada teknik yang cukup baik.
“Tetapi kalau kami lebih berdisiplin malam esok, tidak mustahil kita akan dapat mengawasi dengan lebih baik pemain-pemain mereka”, katanya.
Sarawak United bimbingan B.Sathianathan akan turun untuk aksi ini dengan keyakinan yang diperbaharui setelah berjaya menewaskan Sri Pahang di tempat lawan pada Khamis lalu, di mana Shamie turut menyumbang satu gol.
JDT juga bakal turun dengan moral tinggi selepas melakar kemenangan minit akhir ke atas Negeri Sembilan Rabu lalu. yang melebarkan rekod mereka di Liga Super kepada lima kemenangan berturut-turut.
Sebagai rekod, JDT mara ke pusingan kedua dengan membelasah kelab Liga M3, BRM FC 10-0.
Foto kredit : Sarawak United Official