“Kami Kecewa Kerana Selalu Kalah, Tak Pernah Menang Gelaran Tapi Kami Tak Putus Asa”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada kejayaan yang datang bergolek dengan mudah, ia hasil kerja keras dan sikap tidak pernah mengalah mahupun berputus asa sepertimana dibuktikan pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik susulan kejayaan memenangi Kejuaraan Dunia pada bulan lalu.

Sekadar mengimbau, beregu nombor satu negara itu pada hakikatnya tidak pernah memenangi sebarang gelaran di kejohanan terbuka ataupun kejohanan besar sejak digandingkan hampir enam tahun lalu.

Pencapaian terbaik mereka sebelum bergelar juara dunia adalah pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 manakala selebihnya kemenangan menerusi acara berpasukan di Sukan Komanwel dan Kejuaraan Asia (bukannya kemenangan individu).

Wooi Yik mengakui situasi itu sangat mengecewakan mereka apatah lagi untuk memegang status selaku beregu nombor satu negara tetapi tiada pernah menang apa-apa dalam karier, namun akhirnya lega ia dinoktahkan dengan penuh bergaya.

“Saya ingat lagi selepas pulang daripada Sukan Olimpik (menang gangsa), suasana yang sama menyambut kepulangan kami. Selepas itu harapan tinggi diletakkan kepada kami daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Kami bergelut banyak kali dan asyik kalah. Sebagai beregu nombor satu negara, kami tidak meraih sebarang gelaran.

“Kami sendiri kecewa dengan situasi itu tetapi kami tidak pernah berputus asa. Mungkin anda tidak nampak tetapi kami benar-benar bekerja keras (untuk mengubah situasi) dan apabila kami dapat menjadi juara dunia, saya perlu berterima kasih kepada Tuhan dan usaha kami selama ini berbaloi,” katanya.

Aaron Chia dan Wooi Yik menjadi wakil pertama negara muncul juara dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977 selepas menundukkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final.

Dalam pada itu, Aaron Chia pula berkata kejayaan muncul juara dunia memberi tonik tambahan buat mereka untuk memburu kejuaraan dalam kejohanan seterusnya sekali gus merealisasikan impian menjadi beregu nombor satu dunia.

“Sudah tentu kejayaan ini memberi motivasi kepada kami, beri kami semangat untuk terus berjuang dalam kejohanan seterusnya. Kami berharap suatu hari nanti kami boleh menjadi beregu lelaki nombor satu dunia.

“Namun, ia bukan perkara mudah, kami perlu melipat gandakan usaha dan bekerja keras bagi mencapainya,” ujar pemain itu.

Aaron Chia-Wooi Yik selepas ini akan mengalihkan fokus mereka terhadap persiapan bagi menghadapi Terbuka Denmark yang bermula 18 hingga 23 Oktober dan Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober ini.

Selaku juara dunia, pasangan itu turut meraih tiket automatik untuk beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.